Setelah enam ratus tahun bertapak sebagai sebuah
kerajaan agung, sejarah menyaksikan detik detik kemuncak kelemahan
Kerajaan Uthmaniyah. Sebenarnya detik yang berlaku disekitar awal abad
ke 14H itu, diancam oleh pelbagai serangan dalaman dan luaran secara
terancang.
Detik tanggal tahun 1924, merupakan sejarah hitam buat Kerajaan
Uthmaniyah apabila Kamal Ataturk menguasai Turki. Sistem Khalifah yang
menjadi mercu tanda kekukuhan negara Islam, mansuh akibat pengaruh Barat
pimpinannya.
Pada ketika itulah muncul tokoh ilmuwan terulung dalam sejarah Turki
iaitu Badi'uzzaman Sa'id Nursi. Beliau telah mengorbankan seluruh
kehidupannya demi perjuangan untuk mengembalikan keagungan Islam yang
musnah itu. Ketika itu, agama dilihat sebagai faktor kemunduran dan
kelemahan umat. Fahaman sekularisme, materialisme, dan ateisme pula
diterima baik oleh masyarakat tempatan atas nama kebebasan dan kemajuan.
Badi'uzzaman atau nama sebenar Sa'id bin Mirza dilahirkan pada tahun
1876 (1294H) di Nurs, sebuah perkampungan kecil di daerah Khizan, Turki.
Beliau juga dikenali sebagai Sa'id al-Nursi yang merujuk kepada tempat
kelahirannya.
Nursi dilahirkan dalam sebuah keluarga petani yang
hidup serba sederhana. Ibu dan bapanya berketurunan Kurdis dan mereka
dikatakan berasal daripada salasilah keturunan Ahl dl-Bayt. Nursi pernah
diberi gelaran Badi'azzaman (Keunggulan Zaman) oleh gurunya, Syeikh
Fathu'llah. Walau bagaimanapun Nursi menolak kerana merasakan dirinya
belum layak menerima gelaran itu. Sejak kecil lagi Nursi telah
memperlihatkan minatnya untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau sangat
gemar menghadiri majlis perbincangan ilmu antara ulama yang sering
diadakandi rumah ayahnya. Suasana keilmuan ini memberikan pengaruh yang
besar pada jiwa dan pemikiran
Nursi. Minatnya itu menyuburkan pemikiran analisis-kritis, dialog, dan
perdebatan.
Nursi mula merantau ketika umurnya sembilan tahun dalam
usahanya untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan
ramai alim ulama termasuk Syeikh Muhammad al-Jalali di Madrasah Bayazid
bersempadan Iran. Di bawah bimbingan Syeikh Muhammad al-Jalali, Nursi
telah mempelajari dan menguasai kitab-kitab muktabar seperti Jam'
al-Jawami, Sharh al-M.awaqif, dan Ibn Hajar. Disinilah bermulanya proses
awal perkembangan dan pembentukan pemikiran Nursi. Peluang di peringkat
ini amat berharga pada Nursi, lalu sentiasa meneruskan pengajian dengan
beberapa orang tokoh ilmuwan terkenal. Keterampilan beliau mula
menampakkan ketokohan sebagai seorang ulama,lalu dikenali waktu itu
sebagai ulama muda yang hebat. Gabenor Bitlis, Umar Basha sangat
mencintai ilmu dan memuliakan ulama. Oleh sebab itu beliau mempelawa
Nursi supaya tinggal di kediaman beliau yang mempunyai sebuah
perpustakaan besar. Nursi tidak melepaskan peluang itu demi memenuhi
cita-citanya. Umar Basha memberi peluang kepada Nursi untuk mendalami
dan menghafal kitab-kitab seperti aI-MataIi, al-Mawaaif, dan al-Mirqat.
Dalam tempoh dua tahun di kediaman Gabenor itu, beliau telah berjaya
menguasai ilmu al-kalam, mantik, nahu, tafsir, hadith, dan fiqh dengan
mantap. Tetapi, minatnya untuk meneruskan usaha memperluaskan ilmu
pengetahuan menyebabkan beliau meninggalkan Bitlis. Dalam
pengembaraannya itu beliau menyambut pelawaan Gabenor Hasan Basha untuk
berkhidmat di Wan sebagai ulama iaitu pada tahun 1897(1314H).
Setelah beberapa ketika tinggal di kediaman Hasan
Basha, Nursi sekali lagi dijemput untuk tinggal di kediaman Tahir Basha,
Gabenor baru di Wan. Ketika berada di Wan, Nursi sempat bertemu dan
berdialog dengan tokoh-tokoh ilmuwan moden. Kerana menyedari
kelemahannya dalam bidang ilmu moden, mendorong beliau berusaha
mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu sains moden seperti fizik, kimia,
biologi, ilmu kaji bumi, dan astronomi.
Selain ilmu sains beliau turut mempelajari ilmu sejarah, matematik,
geografi, dan falsafah moden. Setelah menguasai bidang agama dan ilmu
sains moden, sekali lagi Nursi diberi gelaran sebagai Badi'uzzaman.
Gelaran tersebut diterima bahkan dijadikan sebahagian daripada nama
beliau. Pengalamannya semasa menuntut ilmu memberikan kesedaran pada
beliau betapa perlunya dilakukan perubahan terhadap sistem pendidikan.
Oleh sebab itu, beliau telah bertindak menggabungkan dua cabang ilmu
iaitu ilmu agama dan ilmu sains moden yang sebelum itu telah dipisahkan.
Nursi berazam untuk mengubah persepsi negatif masyarakat yang
berpandangan bahawa ilmu agama dan ilmu sains moden tidak boleh
digabungkan. Pendekatan beliau ini dilaksanakan semasa kerjayanya
sebagai seorang guru di madrasahnya yang dikenali sebagai Madrasah Khur
Khur. Nursi berpendirian bahawa umat Islam perlu menguasai kedua-dua
cabang ilmu tersebut demi masa depan umat Islam seluruhnya. Beliau juga
gigih berusaha untuk menubuhkan universiti yang akan dinamakan Madrasat
al-Zahra di Timur Turki. Walau bagaimanapun, usaha beliau itu gagal
kerana tidak mendapatkan persetujuan daripada golongan yang berpengaruh
di Istanbul.
Sungguhpun begitu, Nursi terus berusaha untuk
merealisasikan diri umat Islam sebagai "Umat Contoh". Pengamatan dan
kesedaran Nursi itu telah mendorong beliau mengatur gerakan ke arah
mereformasi sistem pendidikan yang wujud pada zamannya. Beliau
berpendirian teguh bahawa dalam dunia moden hari ini, ilmu-ilmu agama
dan ilmu-ilmu sains moden perlu bergerak seiring. Apabila Turki
diisytiharkan sebagai sebuah negara Republik pada 29 Oktober 1923, Turki
bertukar wajah menjadi sebuah negara sekular. Kamal Ataturk
melaksanakan dasar-dasar pemerintahan berlandaskan fahaman sekularisme
yang anti-Islam.Untuk menentang dasar itu, Nursi kemudiannya menyokong
pembentukan Parti Demokratik Turki. Harapannya agar dapat melaksanakan
pemerintahan yang adil dan sedikit kebebasan diberikan kepada gerakan
Islam. Menurut Nursi, sekiranya Kerajaan Sekular boleh membenarkan
fahaman ateis, mengapa tidak dibenarkan Islam bergerak dengan bebas.
Nursi mempunyai pandangan yang lain tentang konsep
"kebebasan" yang dilihatnya sebagai satu keperluan asas. Keperluan ini
harus dihormati dalam setiap agama dan bangsa. Namun, konsep "kebebasan"
itu tidak sepatutnya disalahtafsirkan memandangkan pengisian maksud
"kebebasan" yang tidak selari dengan peraturan Islam. Atas hasrat inilah
ketika perisytiharan perlembagaan negara, Nursi berjuang untuk
menegakkan corak pemerintahan berasaskan Perlembagaan yang berteraskan
kepada syariat Islam. Walaubagaimanapun, perjuangan suci beliau itu
mendapat tentangan daripada golongan yang masih belum memahami kehebatan
isi kandungan al-Quran. Nursi berpandangan bahawa kesedaran serta
kefahaman yang jelas perlu diusahakan meskipun memakan masa yang
panjang. Yang penting isi kandungan al-Quran benar-benar difahami.
Beliau menyedari bahawa kekerasan hanya mencetuskan permusuhan dan tidak
membawa sebarang kebaikan kepada manusia. Dalam usaha itu, Nursi
menyeru umat Islam agar menilai golongan yang masih ragu-ragu terhadap
Islam. Mereka perlu dikenal pasti sama adadalam kalangan umat Islam
mahupun kaum bukan Islam. Mereka yang terlibat itu dianggap sebagai satu
golongan yang memerlukan bantuan dan tunjuk ajar daripada umat Islam.
Beliau sama sekali tidak mahu terus melabelkan mereka sebagai musuh.
Melalui kaedah ini, seruan Islam lebih mudah disampaikan dan dapat
diterima baik oleh masyarakat. Rasa'il al-Niir merupakan karya teragung
Nursi yang merupakan khazanah berharga sumbangan pemikiran beliau. Karya
agung ini seharusnya dimanfaatkan oleh umat Islam sepanjang zaman.
Sebenarnya, Rasa'il al-Nur merupakan satu tafsiran terhadap maksud
al-Quran al-Karim. Secara umum isi kandungan kitab ini merangkumi
persoalan keimanan.
Menurut Nursi, satu-satunya rujukan dalam menghasilkan
kitab Rasa'il al-Nur ini ialah kitab suci al-Quran al-Karim. Antara
persoalan yang menjadi kupasan dalam karyanya itu ialah seperti ilmu
Mustalah al'Hadith, falsafah, Ilm al-Kalam, dan ilmu
Tasawuf. Dalam perbahasan mengenai Mustalah al-Hadith, Nursi
menekankan hadith-hadith yang sering dipertikaikan masyarakat. Di sini,
beliau telah mengemukakan perbahasan yang menarik. Antara yang
dibahaskan ialah yang berkaitan dengan kisah Dajjal, turunnya Nabi Isa
a.s, Imam
Mahdi, Nabi Khaidir, Malaikat, tanda-tanda kiamat, dan
sebagainya. Dalam memperkatakan tentang falsafah, Nursi dalam risalah
al-Madfchol ila al-Nur menulis bahawa falsafah yang ditentang ialah
falsafah yang merosakkan manusia dan yang menentang agama. Oleh sebab
itulah, pelajar-pelajar aliran falsafah moden tidak menentang Rasa'il
al-Nitr, malah mereka sama-sama menyokong kandungan Rasa'il al-Nur tanpa
sebarang keraguan.Rasa'il al-Nur turut memuatkan perbahasan mengenai
Ilmu al-Kalam. Dalam risalah al-Maktubat misalnya, Nursi menulis bahawa
ma'rrfatullah yang dibentangkan oleh al-Razi melalui kaedah Ilm al-Kalam
itu mengandungi kelemahan dan kekurangan pada pandangan Ibn al-Arabi.
Ma'rifatullah yang terhasil melalui jalan Tasawuf juga mempunyai
kelemahan jika dibandingkan dengan ma'rifah yang dibentangkan oleh
pewaris nabi. Ulama pewaris nabi dalam kupasannya ialah mereka
yangmenurut manhaj al-Quran.
Rasa'il al-Nur juga memuatkan ajaran tasawuf. Tetapi
kupasan mengenainya tidak bermaksud menjadikan pembaca seorang ahli
sufi. Dalam hal ini, Nursi sering kali menyebut bahawa zaman ini bukan
zaman tasawuf atau tarekat, sebaliknya merupakan zaman untuk
menyelamatkan iman umat manusia. Jelas dalam karya itu, beliau
menyifatkan bahawa manusia tidak mungkin dapat memasuki syurga tanpa
iman, tetapi ramai juga yang dapat memasuki syurga tanpa tasawuf.
Manusia sememangnya tidak dapat hidup tanpa roti (gandum), tetapi mereka
boleh hidup tanpa buah. Maka tasawuf itu ialah buah manakala hakikat
Islam (keimanan) itu ialah roti. Dalam hal ini beliau menegaskan bahawa
sesungguhnya jika sekiranya Syeikh Abd al-Qadir al-Jaylani dan Syeikh
al-Naqshaband (pengasas Tarekat Naqshabandiyah), Imam Rabbani, dan yang
seumpama mereka, hidup pada zaman kita ini, nescaya mereka akan
mencurahkan segala kemampuan untuk memperteguh hakikat keimanan dan
akidah Islam. Hal ini demikian kerana kedua-duanya (iman dan akidah)
sumber kepada kebahagiaan yang sebenar dan abadi.
Rasa'il al-Nur mendapat sambutan yang baik dalam kalangan umat Islam
Turki dan juga mereka yang berada dinegara-negara lain. Memandangkan isi
kandungannya mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri, kitab ini
perlu disebar kepada umat Islam di seluruh dunia. Menyedari kepentingan
ilmu, kitab Rosa'il al-Nitr ini diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa
lain. Di samping bahasa Arab dan Inggeris, kitab Rasa'il al-Nur juga
diterjemahkan ke dalam bahasa Jerman, Itali, Perancis, Rusia, Rumania,
Bulgaria, Parsi, Kurdi, Urdu, India, Malaysia, dan beberapa bahasa lain
Asia Tengah. Kegigihan perjuangan ulama Islam silam walaupun menemui
kegagalan perlu diteladani oleh umat Islam akhir zaman ini. Yang paling
penting,masyarakat Islam boleh menilai kelemahan dan kekurangan
masyarakat ketika itu. Perjuangan Badi'uzzaman Sa'id Nursi walaupun
bermula sebelum kemenangan Kamal Ataturk, namun umat Islam pada zaman
itu terlalu jauh menyimpang daripada ajaran Islam sebenar. Oleh sebab
banyak usaha beliau ketika itu mendapat banyak tentangan daripada banyak
pihak. Tetapi seandainya umat Islam ketika itu mahu mengikut saranan
Badi'uzzaman sudah pasti Kamal Atartuk dapat dikalahkan dengan mudah.
Oleh sebab itu, perjuangan Badi'uzzaman ini perlu disebarluaskan
dalam kalangan umat Islam agar dapat dijadikan panduan dalam memperkasa
iman dan akidah umat Islam. Supaya peristiwa itu tidak berlaku lagi,
maka wajar umat Islam di negara ini menilai saranan tokoh ini. Antara
saranannya yang penting ialah supaya umat Islam menguasai ilmu sains
moden yang diasaskan atas dasar islamisasi.