Dalam situasi sekarang kewajaran mengenakan hukuman berat ke atas penjenayah kejam secara tidak lansung menyokong kebenaran Islam dalam menyediakan hukuman yang amat berat kepada pelaku-pelaku jenayah syariah. Meskipun ramai yang masih kabur mengenai undang-undang syariah yang menetapkan bentuk hukuman berat seperti sebatan kepada penzina, memotong tangan bagi pencuri dan bunuh bagi jenayah bunuh namun jika ditanya suara hati mangsa dan keluarga mangsa pastinya hukuman ini amat wajar kepada pelaku jenayah. Rogol boleh diketagorikan sebagai jenayah zina di mana pelaku rogol yang akan dikenakan hukuman.
Namun demikian perlu juga diingat bahawa sebelum Islam membicarakan soal hukuman berat, Islam sebenarnya amat menekankan soal langkah-langkah pencegahan sebelum berlakunya kerana mengelakkan kejadian berlaku adalah lebih baik daripada menjatuhkan hukuman. Justeru lahirlah satu kaedah iaitu : al-wiqoyah khairun minal ilaj yang bermaksud mencegah lebih baik dari merawat. Pendekatan ini dapat diselami melalui Firman Allah Taala yang bermaksud:
Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk
Surah Al-Isra : 32
Ayat di atas secara mafhumnya memberikan panduan dalam
menghindarkan berlakunya zina iaitu dengan memastikan segala aktiviti
yang mendekatkan atau membawa kepada perzinaan hendakalah dihindari
lebih awal. Melalui penelitian terhadap ayat ini para ulama telah
menggariskan satu kaedah fiqh iaitu Sad Al-Dzaraie yang bermaksud
menutup pintu yang membawa kepada kemudaratan. Justeru Allah Taala
menegaskan Janganlah kamu menghampiri zina. Jika kelakuan yang
menghampirkan kepada zinapun ditegah apatah lagi perzinaan itu sendiri. Di dalam menangani isu zina, rogol dan cabul sewajarnya kita cuba menghayati apa yang telah diajar oleh Allah Taala seperti yang telah dihuraikan di atas. Sebaiknya kita jangan cepat melatah apabila berlakunya jenayah berat, sepertimana yang berlaku kepada adik Nurin dan adik Sharlinie. Lebih malang apabila ramai di kalangan kita yang menyalahkan ibubapa. Sedangkan persekitaran, penguatkuasaan undang-undang dan sistem hidup hari ini yang seolah-olah sengaja menyuburkan perlakuan maksiat dan jenayah. Rancangan televisyen, konsert, persembahan ratu cantik, pergaulan bebas dan melampau di sekolah dan institusi pengajian tinggi serta media cetak yang seolah-olah mempromosikan keghairahan seks melalui gambar-gambar separuh bogel artis-artis dan model-model tempatan mahupun luar negara. Dulu persembahan artis ada etikanya. Seperti tidak boleh berambut panjang bagi artis lelaki dan tidak boleh berpakain menjolok mata bagi artis wanita. Tetapi semua ini tidak lansung dipatuhi dan tiada sebarang penguatkuasaan.