Ibn Qayyim al-Jawziyyah (691/1292 - 751/1350) bukanlah
tokoh yang asing dalam kalangan orang Islam, tetapi ramai yang tidak
tahu pemikiran dan sumbangannya dalam falsafah ekonomi Islam. Ibn Qayyim
banyak membincangkan konsep kekayaan dan kemiskinan, ekonomi dan zakat,
konsep faedah, riba al-fadi dan riba al-nasiiah, dan mekanisme pasaran.
bn Qayyim atau nama asalnya Shams al-Din Abu 'Abd Allah Muhammad bin
Abu Bakr bin Sa'ad, lahir pada 7 Safar 691H bersamaan 9 Januari 1292M
di Damsyik. Beliau meninggal dunia pada tahun 751H/1350M ditempat yang
sama. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan ilmu
pengetahuan. Ayahnya merupakan guru pertama yang mengajar Ibn Qayyim
tentang ilmu-ilmu asas Islam termasuk ilmu al-fara'id. Sebenarnya,
beliau telah menuntut pelbagai bidang pengajian dengan beberapa orang
ulama terkenal pada waktu remajanya. Antara guru beliau ialah Qadi
Sulayman bin Hamzah (711H/1311M), Shaykh Abu Bakr (718H/1318M), al-Majd
al-Tunisi (718 H), Abu al-Fath al-Ba'li (709H), al- Saffi al-Hindi
(715H), al-Taqi al-Sulayman, Abu Bakr bin 'Abd al-Da'im (718H), Abu Basr
bin al-Shirazi (723H), 'Isa al-Mut'im (719H), Isma'il Maktum (716H),
dan Ibn Taymiyyah (661 - 728/1263 - 1328).
Antara bidang pengajian yang dipelajari daripada mereka
ialah tafsir al-Quran, hadith, usul al-fiqh, dan fiqh. Kesungguhan dan
ketekunan Ibn Qayyim mempelajari ilmu dan pelbagai bidang, akhirnya
menjadikan beliau terkenal sebagai seorang tokoh dalam bidang fiqh, usul
al-fiqh, tafsir, bahasa Arab, ilmu kalam, dan hadith. Malah menurut Ibn
'Imad, Ibn Qayyim merupakan seorang yang alim dalam bidang tasawuf.Ibn
Qayyim sangat terkenal sebagai seorang tokoh ilmuwan pada zamannya dan
dapat menguasai pelbagai bidang ilmu. Beliau merupakan salah seorang
faqih yang mempunyai autoriti dalam Mazhab Hambali. Ada sesetengah Ulama
Sufi menggelarkannya sebagai sufi agong. Beliau juga mempunyai
personaliti dan peribadi yang baik yang amat sukar ditandingi oleh orang
lain yang semasa dengannya. Ibn Kathir (774H/1373M), salah seorang anak
muridnya pernah menyatakan bahawa Ibn Qayyim kuat beribadat dan
peribadinya disukai oleh orang ramai pada waktu itu. Antara lain Ibn
Kathir menulis, "Aku tidak pernah melihat pada zaman kami ini, orang
yang kuat beribadat seperti Ibn Qayyim. Apabila sembahyang,
sembahyangnya begitu lama. Beliau memanjang rukuknya dan juga sujudnya."
Selaku seorang ulama yang terkenal, Ibn Qayyim telah
didampingi oleh ramai orang yang berguru dan mempelajari pelbagai bidang
ilmu dengannya. Antara anak muridnya yang masyhur ialah Ibn Kathir
tokoh dalam ilmu hadith dan sejarah, Zayn al-Din Ibn Rajab al- Hambali
(795H/1397M) seorang tokoh dalam Mazhab Hambali, dan Ibn Hajar
al-'Asqalani (852H/1449M) seorang tokoh hadith yang tidak asing
lagi.Menurut penyelidikan Dr. 'Iwad Allah Jad Hijazi penulisan Ibn
Qayyim dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan berjumlah 66 buah.
Penulisan itu ada yang berjilid-jilid, ada yang tebal dan ada yang kecil
serta ringkas. Dalam bidang tafsir Ibn Qayyim menulis Kitab al'Tibyan
fi Iqsam al'Qur'an, Tafsir al Muuawwizatayn, Tafsir Surah al'Fatihah
yang terdapat di awal Kitab Madarij al-Salikin, dan lain-lain lagi.
Dalam bidang Hadith, Ibn Qayyim menulis kitab-kitab
seperti Tahdhib al-Siman oleh Abu Dawud, al-Wabilal Sayyab min al-Kalam
al-Tayyib, dan sebagainya. Dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh beliau
menyumbangkan kitab-kitab seperti, Ilam al-Muwaqqi'in 'an Rabb
al-'Alarum, al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyysah al-Shar'iyyah, al-Solah
wa Ahkam Tariqiha, Tuhfah al-Mawdud biAhkam al-Mawlud, Bayan al-Dalil
"An Istighna" al-Musabaqah 'an al-Tahlil, al-Tahlil Fima Yaaill wa
Yaarum min Libas al-Harir, dan sebagainya.
Dalam bidang tasawuf Ibn Qayyim menulis yang antaranya,
kitab-kitab Madarij al-Salikin, Rawdah. al-Muhibbin wa Nuzhah
ai-Mushtaqin, al-Fawa'id li Ibn Qayyim, 'Uddah al-Sabirin wa Dhakhirah
al-Shakirin, Taraq al-Hijratayn wa Bab al-Sa'adatayn, dan sebagainya.
Dalam bidang kalam dan falsafah Ibn Qayyim menulis beberapa kitab
seperti, Shifa' a-'Alil fi Masa'il al-Qada' wa Al-Qadar wa al-hikmah wa
al-Ta'lil, Kitab al-Ruh, Hadi al-Arwah ila Bilad al-Afrah, dan Miftah
dar al-Sa'adah wa Manshur Wilayah al-'Ilm wa al-Iradah.
Dalam bidang sejarah, beliau menulis Kitab Zad al-Ma'ad
fi Hady Khayr al-'Ibad. Ibn Qayyim juga menulis al-Tibb al-Nabawi,
Talbis Iblis, al-Jawab al-Kafi 'an Lima Sa'ala 'An al-Dawa' al-Shafi,
dan lain-lain lagi.
bn Qayyim dalam penulisannya juga telah menyentuh
beberapa perkara berkenaan dengan falsafah ekonomi Islam iaitu konsep
manusia Islam (homo islamicus) dan manusia bukan ekonomi (non homo
economicus), konsep keadilan dan nilai-nilai etika dalam ekonomi,
aktiviti ekonomi, kerjasama dan pembahagian buruh, pemilikan harta
kekayaan oleh individu, dan peranan kerajaan dalam ekonomi.Dalam hal
ini, Ibn Qayyim menggariskan asas kepercayaan Islam bahawa setiap
manusia bertanggungjawab membimbing diri sendiri ke arah menjadi hamba
Allah yang baik dan Allah S.W.T merupakan sumber pedoman dan
petunjuk.Dalam pengajian ekonomi, manusia digambarkan sebagai makhluk
yang sifat, gelagat, dan tindakannya mementingkan diri sendiri, tamak,
haloba, dan menjadikan keuntungan sebagai asas penting dalam semua jenis
aktiviti ekonomi. Jadi, setiap manusia bertanggungjawab terhadap
perbuatannya dan Allah S.W.T menjadi pedoman dan petunjuk ke arah jalan
yang betul.
Selain itu, Ibn Qayyim menekankan bahawa hidup di dunia
ini merupakan ujian dan cubaan daripada Allah S.W.T. Ujian yang
dikenakan kepada manusia itu boleh sama ada dalam bentuk anugerah harta
kekayaan ataupun diberikan kehidupan yang susah. Anugerah kekayaan
kepada seseorang tidak bermaksud Allah S.W.T sayang kepadanya. Demikian
juga ujian kemiskinan tidak bermaksud Allah S.W.T benci kepada
seseorang. Harta kekayaan yang dimiliki oleh manusia bukanlah bererti
hidup ini penuh dengan kesenangan.Ibn Qayyim juga ada menyentuh soal
keadilan yang merupakan teras semua aspek dalam kehidupan. Menurut Ibn
Qayyim, keadilan merupakan objektif dan matlamat utama Syariah. Hal ini
demikian adalah kerana Syariah itu mengandungi keadilan, keberkatan, dan
kebijaksanaan. Perkara yang bercanggah dengan keadilan akan menukarkan
keberkatan dan kebajikan kepada laknat dan kejahatan, dan daripada
kebijaksanaan kepada sesuatu yang tidak berfaedah kepada Syariah.
Sehubungan dengan itu Ibn Qayyim menjelaskan nilai-nilai etika
yang baik seharusnya diamalkan oleh orang Islam dalam kegiatan ekonomi
mereka. Antara nilai etika yang baik ialah kepatuhan kepada Allah SWT,
ketaatan kepada agama, sifat baik, jujur, dan benar. Apabila nilai etika
tersebut diamalkan dalam kehidupan seharian terutamanya dalam kegiatan
ekonomi, akan menjauhkan nilai-nilai jahat seperti pembohongan,
penipuan, dan korupsi.
Selanjutnya beliau menjelaskan bahawa akibat daripada sifat
semula jadi yang suka berbohong akan menyebabkan kejayaan tidak tercapai
dalam kehidupan.Apabila keadaan ini berlaku, kehidupan perekonomian
akan cacat termasuk juga aspek-aspek lain dalam kehidupan. Dalam
perkataan lain, pembohongan memberi impak yang besar dalam kehidupan
orang-orang Islam.Memandangkan akibat yang besar daripada ketidaktaatan
dan kejahatan sosial, Ibn Qayyim ada menulis bahawa kesan-kesan dosa
akan membawa kepada tidak baik dan dikutuk. Dosa-dosa ini mencacatkan
jasad dan roh manusia yang merosakan kehidupan di dunia ini dan selepas
mati.Sifat-sifat yang negatif seperti pembohongan, penipuan, dan
pengeksploitasian serta ketidakjujuran mendorong kepada keadaan yang
tidak tenteram dalam kehidupan masyarakat. Akan berlaku huru-hara,
kecurigaan, ketidakstabilan, dan kekecewaan dalam kalangan masyarakat.
Apabila semua perkara ini berlaku, kegiatan ekonomi akan
menguncup.Sebaliknya nilai-nilai etika yang diamalkan dalam masyarakat
akan menyuburkan suasana keyakinan dan jaminan keselamatan dalam
masyarakat. Pada masa yang sama, masyarakat akan bekerjasama dalam
proses pengeluaran dan kestabilan ekonomi. Dalam perkataan lain
pengeluaran barang-barang dan perkhidmatan akan meningkat, dan
masyarakat akan hidup mewah.
Selain itu, Ibn Qayyim menganjurkan campur tangan kerajaan
dalam pemilikan harta kekayaan individu jika individu berkenaan
menggunakan harta kekayaan berkenaan pada jalan yang bertentangan dengan
faedah masyarakat. Dalam hubungan ini, Ibn Qayyim telah memetik
sepotong hadith Rasulullah s.a.w. mengenai seorang hamba (harta) yang
dimiliki bersama oleh beberapa rakan kongsi (tuan) yang hendak
dibebaskan oleh salah seorang daripada tuannya, sedangkan tuan-tuan yang
lain tidak bersetuju dengan pembebasan tersebut. Dalam kes ini
Rasulullah s.a.w. memutuskan harga yang adil dan rakan-rakan kongsi yang
lain diminta menerima bahagian masing-masing. Selepas itu, hamba
berkenaan telah dibebaskan. Hadith ini menjadi asas pada Ibn Qayyim
dalam menentukan peraturan bahawa sesuatu harta yang tidak boleh
dibahagikan dan dimiliki bersama boleh dijual jika salah seorang
daripada para pemiliknya berhasrat untuk menjualnya.Jelas, beberapa
aspek dalam falsafah ekonomi Islam yang dihuraikan oleh Ibn Qayyim
tersebut merupakan antara prinsip dan teras ekonomi Islam yang
membezakannya dengan falsafah ekonomi konvensional.