Dunia Islam telah melahirkan ramai ahli falsafah yang
hebat. Namun begitu, falsafah Islam tetap dianggap sebagai satu kelompok
yang hilang dalam sejarah pemikiran manusia. Maka tidak hairanlah,
sejarah lebih mengenali tokoh-tokoh falsafah Yunani dan barat jika
dibandingkan dengan ahli falsafah Islam.
Walaupun beberapa tokoh falsafah Islam seperti al-Kindi, al-Farabi,
dan Ibn Sina mendapat pengiktirafan dari Barat, tetapi mereka tidak
mendapat tempat yang sewajarnya jika dibandingkan dengan ahli falsafah
Yunani seperti Plato dan Aristotle. Kajian-kajian mengenai tokoh
berkenaan masih belum memadai dan jauh daripada memuaskan. Walaupun para
sarjana, ilmuwan, dan ahli falsafah Islam telah menghasilkan sejumlah
karya-karya yang besar tetapi kebanyakan tulisan mereka belum
diterjemahkan.Tidak kurang juga yang musnah disebabkan oleh peperangan
dan penaklukan yang dilakukan oleh kuasa asing. Malahan kajian yang
dibuat terhadap pemikiran falsafah beberapa tokoh terkenal seperti Ibnu
Rusyd tidak diberikan penilaian yang adil. Kajian dan terjemahan yang
dibuat oleh S.Van den Berg terhadap kitab "Lima Baida al-Thaan", tulisan
Ibnu Rusyd mengenai metafizik misalnya tidak mendapat sorotan yang
meluas wahal kajian tersebut dapat membantu kita memahami dan mendekati
pemikiran ahli falsafah itu dengan lebih mendalam lagi.
Begitu juga dengan pemikiran falsafah Ibn Tufail tidak
banyak diketahui oleh umat Islam sendiri. Ibn Tufail yang lahir pada
tahun 1106 Masihi di Asya, Granada lebih dikenali sebagai ahli hukum,
perubatan, dan ahli politik yang handal. Semasa pemerintahan al-Mu'min
ibn Ali, Ibn Tufail atau nama asalnya, Abu Bakr Muhammad ibn Abdul Malik
ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Tufail al-Qisi pernah dilantik sebagai
pembantu gabenor Wilayah Sabtah dan Tonjah di Maghribi.Beliau juga
pernah menjadi doktor peribadi kepada pemerintah al-Muwahidin, Abu
Ya'kub Yusuf. Selepas bersara, tempatnya digantikan oleh anak muridnya
iaitu Ibnu Rusyd. Semasa hayatnya, Ibn Tufail pernah dilantik sebagai
menteri dan merupakan ahli politik yang dihormati oleh pihak pemerintah.
Selain itu, beliau juga melibatkan dirinya dalam bidang
pendidikan, pengadilan, dan penulisan. Walaupun Ibn Tufail dikatakan
telah menulis banyak buku tetapi hanya sebuah sahaja kitab yang
diwariskan kepada generasi umat Islam hari ini. Kitab itu ialah "Hay ibn
Yaqzan" yang memuatkan pandangannya secara umum, dengan gaya bahasa
yang menarik dan imiginasi yang indah. Buku ini dianggap sebagai warisan
paling unik yang ditinggalkan oleh seorang ahli falsafah Islam.Buku ini
kemudiannya diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai bahasa dunia. Yang
menarik dalam buku itu, Ibn Tufail berusaha menerangkan bagaimana
manusia mempunyai potensi untuk mengenali Allah. Katanya, semua ini
dapat dilakukan dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan
sekelilingnya.
Menerusi buku itu, Ibn Tufail cuba merangka satu sistem
falsafah berdasarkan perkembangan pemikiran yang ada pada diri manusia.
Beliau berusaha mengungkap persoalan serta hubungan antara manusia,
akal, dan Tuhan. Untuk itu, beliau telah menggunakan watak Hayibn Yaqzan
yang hidup di sebuah pulau di Khatulistiwa sebagai gambaran percampuran
empat unsur penting dalam kehidupan iaitu panas, sejuk, kering, dan
basah dengan tanah. Watak itu hidup terpencil dan dapat mempertahankan
kelangsungan hidupnya dengan pimpinan akal dan bantuan pancaindera.
Langkah Ibn Tufail menggunakan analog! watak tersebut dalam bukunya
dianggap sebagai suatu perkara yang luar biasa dalam penulisan karya
yang berbentuk falsafah.Watak itu tidak pernah mengenali kedua-dua ibu
bapanya. Tetapi alam telah memberinya seekor kijang yang menyusu dan
memberinya makan. Setelah dewasa, dia mengarahkan pandangannya terhadap
perkara yang ada di sekelilingnya. Di sini dia mulai membahaskan tentang
kejadian dan rahsia perubahan yang berlaku disekelilingnya. Pada
anggapannya di sebalik alamnya terdapat sebab-sebab yang tersembunyi
yang mentadbir dan membentuknya. Hay bin Yaqzan selalu membahas dan
menganalisa sesuatu perkara sehingga dia mampu mengetahui bahawa
kebahagian dan kesengsaraan manusia itu bergantung kepada hubungannya
dengan Allah. Dengan watak "Hay" itu, Ibn Tufail berjaya membuat huraian
yang menarik sekaligus membantu kita memahami pemikiran falsafahnya.
Buku itu juga mengandungi pengamatan Ibn Tufail
mengenai ilmu metafizik, matematik, fizik, dan sebagainya. Ibn Tufail
melihat alam ini sebagai baru dan ditadbir oleh Tuhan yang satu dan
berkuasa penuh. Dalam diri manusia pula terdapat roh yang menjadi sumber
dan asas kehidupan mereka di muka bumi ini. Falsafah Ibn Tufail bukan
sekadar menyentuh perkara yang berkaitan dengan metafizik tetapi juga
sains tabii seperti fizik. Ibn Tufail mendapati bahawa lapisan udara
yang tinggi lebih sejuk dan nipis daripada lapisan yang rendah. Hal ini
disebabkan kepanasan berlaku di permukaan bumi bukannya di ruang dan
lapisan udara.Beliau juga mendapati bahawa kepanasan boleh dihasilkan
melalui geselan, gerakan cahaya sama ada daripada apt ataupun matahari.
Meskipun pandangan itu dianggap sebagai satu perkara yang biasa pada
hari ini tetapi pandangan ini sebenarnya telah menyediakan landasan
kepada ahli sains untuk melakukan kajian terhadap kepanasan dan segala
fenomena yang berkaitan dengannya. Pemikiran falsafah Ibn Tufail juga
meliputi perkara yang berhubung dengan masyarakat. Beliau menyifatkan
masyarakat terdiri daripada sebahagian besar anggota-anggota yang malas.
Lantaran itu, mereka mudah terpengaruhi dan terikut-ikut dengan nilai
yang sedia ada tanpa mahu memperbahaskannya.
Ibn Tufail hidup hampir sezaman dengan Ibnu Bajjah.
Maka sebab itu beliau mudah menerima pandangan falsafah Ibnu Bajjah,
al-Farabi, dan beberapa ahli falsafah Islam yang lain dengan baik.
Menurut sesetengah pengkaji dan pemikir, Ibn Tufail banyak dipengaruhi
oleh falsafah Ibnu Bajjah sebagaimana yang dapat diperhatikan pada
pertengahan buku Hay bin Yaqzan yang banyak membawa saranan yang
terdapat dalam kitab "al-Mutawwahid". Dalam buku itu, Ibnu Bajjah telah
melakukan pembelaan terhadap tulisan-tulisan al Farabi dan Ibnu
Sina.Namun begitu, Ibnu Tufail tidak menerima sarangan itu bulat-bulat
melainkan selepas dibahaskan secara kritis. Selain itu beliau seorang
yang berpegang kepada logik dalam mengungkap realiti alam dan kehidupan
manusia.
Barangkali bertitik tolak daripada sikapnya itu, beliau
tidak menyepi dan mengasingkan diri seperti mana yang dilakukan oleh
segelintir ahli falsafah lain. Sebaliknya beliau bergiat dalam hal-hal
yang berkaitan dengan kemasyarakatan dan mengambil bahagian secara aktif
dalam urusan pemerintahan serta kenegaraan. Kegiatan ini dilakukannya
sehingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada 1185 Masihi.