Ibnu Sina merupakan doktor Islam yang terulung.
Sumbangannya dalam bidang perubatan bukan sahaja diperakui oleh dunia
Islam tetapi juga oleh para sarjana Barat. Nama sebenar Ibnu Sina ialah
Abu Ali al-Hussian Ibnu Abdullah. Tetapi di Barat, beliau lebih dikenali
sebagai Avicenna.
Ibnu Sina dilahirkan pada tahun 370 Hijrah bersamaan dengan 980
Masihi. Pengajian peringkat awalnya bermula di Bukhara dalam bidang
bahasa dan sastera. Selain itu, beliau turut mempelajari ilmu-ilmu lain
seperti geometri, logik, matematik, sains, fiqh, dan perubatan.Walaupun
Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk falsafah tetapi
beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan sama ada sebagai seorang
doktor ataupun mahaguru ilmu tersebut.Ibnu Sina mula menjadi terkenal
selepas berjaya menyembuhkan penyakit Putera Nub Ibn Nas al-Samani yang
gagal diubati oleh doktor yang lain. Kehebatan dan kepakaran dalam
bidang perubatan tiada tolok bandingnya sehingga beliau diberikan
gelaran al-Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama).
Kemasyhurannya melangkaui wilayah dan negara Islam.
Bukunya Al Qanun fil Tabib telah diterbitkan diRom pada tahun 1593
sebelum dialihbahasakan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Precepts
of Medicine. Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun, buku itu telah
dicetak ke dalam 15 buah bahasa. Pada abad ke-17, buku tersebut telah
dijadikan sebagai bahan rujukan asas diuniversiti-universiti Itali dan
Perancis. Malahan sehingga abad ke-19, bukunya masih diulang cetak dan
digunakan oleh para pelajar perubatan.
bnu Sina juga telah menghasilkan sebuah buku yang diberi judul
Remedies for The Heart yang mengandungi sajak-sajak perubatan. Dalam
buku itu, beliau telah menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit
bersama dengan cara untuk mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina
sebenarnya tidak terbatas kepada ilmu perubatan sahaja. Tetapi turut
merangkumi bidang dan ilmu lain seperti metafizik, muzik, astronomi,
philologi (ilmu bahasa), syair, prosa, dan agama.Penguasaannya dalam
pelbagai bidang ilmu itu telah menjadikannya seorang tokoh sarjana yang
serba boleh. Beliau tidak sekadar menguasainya tetapi berjaya mencapai
tahap zenith iaitu puncak kecemerlangan tertinggi dalam bidang yang
diceburinya.
Di samping menjadi zenith dalam bidang perubatan, Ibnu
Sina juga menduduki ranking yang tinggi dalam bidang ilmu logik sehingga
digelar guru ketiga. Dalam bidang penulisan, Ibnu Sina telah
menghasilkan ratusan karya termasuk kumpulan risalah yang mengandungi
hasil sastera kreatif.Perkara yang lebih menakjubkan pada Ibnu Sina
ialah beliau juga merupakan seorang ahli falsafah yang terkenal. Beliau
pernah menulis sebuah buku berjudul al-Najah yang membicarakan persoalan
falsafah. Pemikiran falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi oleh aliran
falsafah al-Farabi yang telah menghidupkan pemikiran Aristotle. Oleh
sebab itu, pandangan perubatan Ibnu Sina turut dipengaruhi oleh asas dan
teori perubatan Yunani khususnya Hippocrates.
Perubatan Yunani berasaskan teori empat unsur yang
dinamakan humours iaitu darah, lendir (phlegm), hempedu kuning (yellow
bile), dan hempedu hitam (black bile). Menurut teori ini, kesihatan
seseorang mempunyai hubungan dengan campuran keempat-empat unsur
tersebut. Keempat-empat unsur itu harus berada pada kadar yang seimbang
dan apabila keseimbangan ini diganggu maka seseorang akan mendapat
penyakit.Setiap individu dikatakan mempunyai formula keseimbangan yang
berlainan. Meskipun teori itu didapati tidak tepat tetapi telah
meletakkan satu landasan kukuh kepada dunia perubatan untuk mengenal
pasti punca penyakit yang menjangkiti manusia. Ibnu Sina telah menapis
teori-teori kosmogoni Yunani ini dan mengislamkannya.Ibnu Sina percaya
bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada empat unsur iaitu tanah,
air, api, dan angin. Keempat-empat unsur ini memberikan sifat lembap,
sejuk, panas, dan kering serta sentiasa bergantung kepada unsur lain
yang terdapat dalam alam ini. Ibnu Sina percaya bahawa wujud ketahanan
semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan penyakit. Jadi, selain
keseimbangan unsur-unsur yang dinyatakan itu, manusia juga memerlukan
ketahanan yang kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan dan proses
penyembuhan.
Pengaruh pemikiran Yunani bukan sahaja dapat dilihat
dalam pandangan Ibnu Sina mengenai kesihatan dan perubatan, tetapi juga
bidang falsafah. Ibnu Sina berpendapat bahawa matematik boleh digunakan
untuk mengenal Tuhan. Pandangan seumpama itu pernah dikemukakan oleh
ahli falsafah Yunani seperti Pythagoras untuk menghuraikan mengenai
sesuatu kejadian. Bagi Pythagoras, sesuatu barangan mempunyai
angka-angka dan angka itu berkuasa di alam ini. Berdasarkan pandangan
itu, maka Imam al-Ghazali telah menyifatkan fahaman Ibnu Sina sebagai
sesat dan lebih merosakkan daripada kepercayaan Yahudi dan Nasrani.
Sebenarnya, Ibnu Sina tidak pernah menolak kekuasaan
Tuhan. Dalam buku An-Najah, Ibnu Sina telah menyatakan bahawa pencipta
yang dinamakan sebagai "Wajib al-Wujud" ialah satu. Dia tidak berbentuk
dan tidak boleh dibahagikan dengan apa-apa cara sekalipun. Menurut Ibnu
Sina, segala yang wujud (mumkin al-wujud) terbit daripada "Wajib
al-Wujud" yang tidak ada permulaan.Tetapi tidaklah wajib segala yang
wujud itu datang daripada Wajib al-Wujud sebab Dia berkehendak bukan
mengikut kehendak. Walau bagaimanapun, tidak menjadi halangan bagi Wajib
al-Wujud untuk melimpahkan atau menerbitkan segala yang wujud sebab
kesempurnaan dan ketinggian-Nya.
Pemikiran falsafah dan konsep ketuhanannya telah ditulis
oleh Ibnu Sina dalam bab "Himah Ilahiyyah" dalam fasal "Tentang adanya
susunan akal dan nufus langit dan jirim atasan.Pemikiran Ibnu Sina ini
telah mencetuskan kontroversi dan telah disifatkan sebagai satu
percubaan untuk membahaskan zat Allah. Al-Ghazali telah menulis sebuah
buku yang berjudul Tahafat al'Falasifah (Tidak Ada Kesinambungan Dalam
Pemikiran Ahli Falsafah) untuk membahaskan pemikiran Ibnu Sina dan
al-Farabi.Antara percanggahan yang diutarakan oleh al-Ghazali ialah
penyangkalan terhadap kepercayaan dalam keabadian planet bumi,
penyangkalan terhadap penafian Ibnu Sina dan al-Farabi mengenai
pembangkitan jasad manusia dengan perasaan kebahagiaan dan kesengsaraan
di syurga atau neraka.
Walau apa pun pandangan yang dikemukakan, sumbangan
Ibnu Sina dalam perkembangan falsafah Islam tidak mungkin dapat
dinafikan. Bahkan beliau boleh dianggap sebagai orang yang
bertanggungjawab menyusun ilmu falsafah dan sains dalam Islam.
Sesungguhnya, Ibnu Sina tidak sahaja unggul dalam bidang perubatan
tetapi kehebatan dalam bidang falsafah mengatasi gurunya sendiri iaitu
al-Farabi.