Tulisan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle mempunyai
pengaruh yang besar terhadap pemikiran ahli falsafah Islam. Salah
seorang ahli falsafah Islam yang terpengaruh dengan pemikiran kedua
tokoh tersebut ialah Al-Farabi.
Nama sebenarnya Abu Nasr Muhammad Ibnu Muhammad Ibnu Tarkhan Ibnu
Uzlaq Al Farabi. Beliau lahir pada tahun 874M (260H) di Transoxia yang
terletak dalam Wilayah Wasij di Turki. Bapanya merupakan seorang anggota
tentera yang miskin tetapi semua itu tidak menghalangnya daripada
mendapat pendidikan di Baghdad. Beliau telah mempelajari bahasa Arab di
bawah pimpinan Ali Abu Bakr Muhammad ibn al-Sariy.Selepas beberapa
waktu, beliau berpindah ke Damsyik sebelum meneruskan perjalanannya ke
Halab. Semasa di sana, beliau telah berkhidmat di istana Saif al-Daulah
dengan gaji empat dirham sehari. Hal ini menyebabkan dia hidup dalam
keadaan yang serba kekurangan.
Al-Farabi terdidik dengan sifat qanaah menjadikan
beliau seorang yang amat sederhana, tidak gilakan harta dan cintakan
dunia. Beliau lebih menumpukan perhatian untuk mencari ilmu daripada
mendapatkan kekayaan duniawi. Sebab itulah Al-Farabi hidup dalam keadaan
yang miskin sehingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada
tahun 950M (339H).Walaupun Al-Farabi merupakan seorang yang zuhud tetapi
beliau bukan seorang ahli sufi. Beliau merupakan seorang ilmuwan yang
cukup terkenal pada zamannya. Dia berkemampuan menguasai pelbagai
bahasa.
Selain itu, dia juga merupakan seorang pemuzik yang
handal. Lagu yang dihasilkan meninggalkan kesan secara langsung kepada
pendengarnya. Selain mempunyai kemampuan untuk bermain muzik, beliau
juga telah mencipta satu jenis alat muzik yang dikenali sebagai
gambus.Kemampuan Al-Farabi bukan sekadar itu, malah beliau juga memiliki
ilmu pengetahuan yang mendalam dalam bidang perubatan, sains,
matematik, dan sejarah. Namun, keterampilannya sebagai seorang ilmuwan
yang terulung lebih dalam bidang falsafah. Bahkan kehebatannya dalam
bidang ini mengatasi ahli falsafah Islam yang lain seperti Al-Kindi dan
Ibnu Rusyd.Dalam membicarakan teori politiknya, beliau berpendapat
bahawa akal dan wahyu adalah satu hakikat yang padu. Sebarang percubaan
dan usaha untuk memisahkan kedua-dua elemen tersebut akan melahirkan
sebuah negara yang pincang serta masyarakat yang kacau-bilau. Oleh itu,
akal dan wahyu perlu dijadikan sebagai dasar kepada pembinaan sebuah
negara yang kuat, stabil serta makmur.
Al-Farabi banyak mengkaji mengenai falsafah dan teori
Socrates, Plato, dan Aristotle dalam usahanya untuk menghasilkan teori
serta konsep mengenai kebahagiaan. Maka tidak hairanlah, Al-Farabi
dikenali sebagai orang yang paling memahami falsafah Aristotle. Dia juga
merupakan seorang yang terawal menulis mengenai ilmu logik Yunani
secara teratur dalam bahasa Arab.Meskipun pemikiran falsafahnya banyak
dipengaruhi oleh falsafah Yunani tetapi beliau menentang pendapat Plato
yang menganjurkan konsep pemisahan dalam kehidupan manusia.Menurut
Al-Farabi, seorang ahli falsafah tidak seharusnya memisahkan dirinya
daripada sains dan politlk. Sebaliknya perlu menguasai kedua-duanya
untuk menjadi seorang ahli falsafah yang sempurna.
Tanpa sains, seorang ahli falsafah tidak mempunyai
cukup peralatan untuk diekspolitasikan untuk kepentingan orang lain.
Justeru, seorang ahli falsafah yang tulen tidak akan merasai sebarang
perbezaan di antaranya dengan pemerintah yang tertinggi kerana keduanya
merupakan komponen yang saling lengkap melengkapi. Dalam hal ini beliau
mencadangkan agar diwujudkan sebuah negara kebajikan yang diketuai oleh
ahli falsafah.Pandangan falsafahnya yang kritikal telah meletakkannya
sebaris dengan ahli falsafah Yunani yang lain. Dalam kalangan ahli
falsafah Islam, beliau juga dikenali sebagai Aristotle kedua. Bagi
Al-Farabi, ilmu segala-galanya dan para ilmuwan harus diletakkan pada
kedudukan yang tertinggi dalam pemerintahan sesebuah negara.Pandangan
Al-Farabi ini sebenarnya mempunyai persamaan dengan falsafah dan ajaran
Confucius yang meletakkan golongan ilmuwan pada tingkat hierarki yang
tertinggi di dalam sistem sosial sesebuah negara.
Di samping itu, Al-Farabi juga mengemukakan banyak
pandangan yang mendahului zamannya. Antaranya beliau menyatakan bahawa
keadilan itu merupakan sifat semula jadi manusia, manakala pertarungan
yang berlaku antara manusia merupakan gejala sifat semula jadi
tersebut.Pemikiran, idea, dan pandangan Al-Farabi mengenai falsafah
politik terkandung dalam karyanya yang berjudul "Madinah al-Fadhilah".
Perbicaraan mengenai ilmu falsafah zaman Yunani dan falsafah Plato serta
Aristotle telah disentuhnya dalam karya " Ihsa* al-Ulum" dan "Kitab
al-Jam". Terdapat dua buku tidak dapat disiapkan oleh Al-Farabi di
zamannya. Buku-buku itu ialah "Kunci Ilmu" yang disiapkan oleh anak
muridnya yang bernama Muhammad Al Khawarismi pada tahun 976M dan
"Fihrist Al-Ulum" yang diselesaikan oleh Ibnu Al-Nadim pada tahun
988M.Al-Farabi juga telah menghasilkan sebuah buku yang mengandungi
pengajaran dan teori muzik Islam, yang diberikan judul "Al-Musiqa" dan
dianggap sebagai sebuah buku yang terpenting dalam bidang berkenaan.
Sebagai seeorang ilmuwan yang tulen, Al-Farabi turut
memperlihatkan kecenderungannya menghasilkan beberapa kajian dalam
bidang perubatan. Walaupun kajiannya dalam bidang ini tidak
menjadikannya masyhur tetapi pandangannya telah memberikan sumbangan
yang cukup bermakna terhadap perkembangan ilmu perubatan di
zamannya.Salah satu pandangannya yang menarik ialah mengenai betapa
jantung adalah lebih penting berbanding otak dalam kehidupan manusia.
Ini disebabkan jantung memberikan kehangatan kepada tubuh sedangkan otak
hanya menyelaraskan kehangatan itu menurut keperluan anggota tubuh
badan.
Sesungguhnya Al-Farabi merupakan seorang tokoh falsafah yang serba
boleh. Banyak daripada pemikirannya masih relevan dengan perkembangan
dan kehidupan manusia hari ini. Sementelahan itu, pemikirannya mengenai
politik dan negara banyak dikaji serta dibicarakan di peringkat
universiti bagi mencari penyelesaian dan sintesis terhadap segala
kemelut yang berlaku pada hari ini.