Apakah itu maulidur rasul?
Maulidur Rasul (dalam bahasa Arab bermaksud
kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad. Hari
ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang
jatuh pada pada Selasa 1432 Masihi ( Dari hadith riwayat Muslim, 8/25 )
12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Baginda
merupakan nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Tapak
kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali
sebagai Maulid Nabi.
Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan
mengadakan majlis memperingati Keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan
mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya.
Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah
Subhanahu Wata’ala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri
majlis Maulidur Rasul.
Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan
majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila
berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat
pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang
baik merupakan doa dan dikira amal Soleh.
Jelas kepada kita bahawa ganjaran Allah Subhanahu Wataala terhadap
kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat
kebaikan, sudah Allah Subhanahu Wataala akan memberi ganjaran pahala
yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada
Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya
mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah
Subhanahu Wataala.
Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh
orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang
yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya. Begitu banyak
ganjarannya.
Seperti kelaziman tahunan, umat Islam di Malaysia akan menyambut hari
sempena keputraan Rasulullah saw pada 12 Rabiulawal setiap tahun.Umat
Islam di Malaysia akan mengadakan berbagai aktiviti dalam acara sambutan Maulidur Rasul. Kerajaan Malaysia mengisyhtiharkan 12 Rabiulawal setiap tahun adalah cuti umum. Diantara acara-acara dalam sambutan Maulidur Rasul ialah Perarakan, Syarahan, Forum, Marhaban, Nasyid dan Jamuan di peringkat kampung sehinggalah ke peringkat kebangsaan.
Dalam menentukan tarikh kelahiran Rasulullah saw, terdapat ahli-ahli
sejarah Islam berbeza pendapat. Pendapat pertama dan masyhur ialah
Rasulullah saw lahir pada malam Isnin 12 Rabiulawal dalam Tahun Gajah
sebelum subuh. Ini adalah pendapat Ibnu Ishaq yang dipetik oleh Ibnu
Hisham dalam kitabnya yang terkenal, Sirah Ibnu Hisham. Dan pendapat
yang kedua ialah pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah saw memang
lahir pada malam Isnin, sebelum subuh Rabiulawal tahun Gajah tapi tarikh
sebenarnya ialah pada 9 haribulan.
Diantara tokoh ulamak-ulamak yang sependapat mengatakan Rasulullah
saw lahir pada 9 Rabiulawal ialah Yunus bin Yazid, Ibnu Hazam, Muhammad
bin Musa Al-Khawarizmi dan Ibnu Taimiyyah. Dan diantara tokoh-tokoh
falak moden yang membuat kajian semula tentang perbezaan pendapat ini
ialah Mahmud Pasya seorang ahli falak Mesir dan Dr.(H) Hj. Kassim
Bahali, Persatuan Falak Syarie Malaysia. Mereka menyatakan bahawa
Rasulullah saw lahir pada 9 Rabiulawal. Ini adalah berdasarkan kepada
Taqwim Qamariah tulen tanpa Nasi’ dan dikebelakangkan 53 tahun dari
tahun pertama Hijrah.
Didapati bulan kelahiran Rasulullah saw iaitu bulan Rabiulawal jatuh
pada bulan April 571 M. Berdasarkan hitungan, Ijtimak berlaku pada 10
April 571M pada 8;21 UT. Menurut kaedah kebolehnampakan hilal, 1
Rabiulawal jatuh pada hari Ahad, 12 April 571M dan hari Isnin yang
bertepatan adalah 9 Rabiulawal manakala 12 Rabiulawal jatuh pada hari
Rabu.
Dalil seterusnya yang mengatakan bahawa Rasulullah lahir pada 9
Rabiulawal ialah pada Isnin 9 Rabiulawal (20 April), fasa bulan adalah
64.4% dan bulan ghurub pada pukul 2:26 pagi. Apabila bulan ghurub awal
maka langit ketika itu kelihatan cerah dengan bintang-bintang yang dapat
dilihat lebih banyak kerana tiada gangguan cahaya bulan. Ini bertepatan
dengan kisah kelahiran sewaktu dilahirkan Rasulullah saw bahawa sebelum
subuh, langit adalah kelihatan sangat cerah dengan cahaya
bintang-bintang yang bertaburan. Walau bagaimanapun, itu adalah pendapat
individu tertentu dengan pengkajian mereka.
Moga ada pihak lain yang dapat membuat kajian lebih lanjut dalam
menetapkan tarikh kelahiran Rasulullah saw. Kajian-kajian lanjut itu
sebenarnya akan lebih memajukan lagi perkembangan ilmu Sejarah dan
Falak. Malah tarikh-tarikh peristiwa penting Islam yang lain juga wajar
dibuat hitungan semula. Kita umat Islam di alaf baru sekarang telah
banyak melahirkan ahli-ahli Sejarah Moden, Falak / Astronomi dan
ahli-ahli Sains yang lain yang pastinya akan mengembang dan menyumbang
kepada penguasaan ilmu pengetahuan kepada pembangunan ummah, InsyaAllah.
Tujuan Sambutan Maulidur Rasul.
Objektif diadakan sambutan Maulidur Rasul ialah untuk mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman terhadap junjungan besar
kita Muhammad Rasulullah saw. Dengan mengingatinya akan menambahkan
lagi perasaan cinta kasih kepadanya serta mengenang, menghargai serta
mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya. Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan, InsyaAllah.
Hukum menyambut sambutan maulidur rasul.
Upacara sambutan Maulidur Rasul adalah harus selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur pembaziran
dan tiada aktiviti yang melanggar syariat. Malah jika perisian sambutan
itu ada unsur ilmu dan ibadah ia tetap diberi ganjaran pahala oleh
Allah Subhanahu Wa Taala.
Adalah tidak tepat pendapat yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur
Rasul adalah bid’ah dhalalah dan bertentangan dengan syariat.
Upacara memperingati hari kelahiran Rasulullah saw ini telah
dilakukan sejak 300 tahun sesudah Rasulullah wafat. Diantara pembesar
yang menganjurkan sambutan ini ialah Malik Muzhaffar Abu Sa’id penguasa
Irbil, Iraq. Dan seterusnya ia terus berkembang sehinggalah sekarang.
Diantara ulamak besar yang mengatakan bahawa sambutan Maulidur Rasul ini
adalah harus dan digalakkan ialah;
- Said Ahmad Zaini Dahlan dalam kitabnya `Siratun Nabawiyah’. Antara lain beliau menyatakan bahawa; “masyarakat telah terbiasa berdiri tegak ketika mendengar riwayat kelahiran Rasulullah saw. Berdiri tegak menghormati kelahiran baginda adalah baik dan cara-cara seperti ini telah ditiru oleh cerdik cendikiawan lainnya.”
- Imam Jalaluddin As-Sayuti lebih jauh menerangkan dalam kitabnya `Al-Wasail Fi Syarhisy Syamail’ , menyatakan; “Apabila diadakan peringatan Maulidur Rasul di sebuah rumah, masjid atau tempat lain maka malaikat mengawal dan mengawasi tempat tersebut sampai upacara selesai dan semua hadhirin mendapat rahmat dari Allah subhanahu wa taala.”
- Ust. Hj. Harun Muhammad Al-Kelantani (1953) dalam kitabnya Senjata Syariat, Pakaian Ahli Sunnah Wal Jamaah menyatakan bahawa “dapat pahala bagi orang yang berdiri yang adalah niat mereka membesarkan Nabi saw.