1.0 Kaedah Tasmik
Tasmik adalah perkataan yang diambil dari bahasa Arab yang
bermaksud mendengar. Kaedah ini digunakan guru dalam pengajaran Tilawah
al Quran melalui aktiviti guru mendengar bacaan pelajar. Kaedah tasmik
melibatkan guru dengan pelajar di dalam kelas semasa pengajaran dan
pembelajaran dijalankan. Kaedah ini digunakan untuk menguji tahap
pencapaian pelajar dalam penguasaan bacaan dan hafazan al Quran.
Cara pelaksanaan kaedah tasmik, ialah pelajar diminta
membaca ayat yang ditentukan oleh guru dengan suara yang kuat (jahar),
di hadapan guru. Guru mendengar bacaan atau hafazan pelajar dengan
teliti supaya dapat mengesan kesilapan yang dilakukan oleh pelajar dalam
bacaannya. Jika terdapat kesalahan, guru akan memperbetulkan kesalahan
murid. Untuk menentukan pelajar menguasai tajwid, guru boleh menyoal
pelajar tentang hukum bacaan atau hukum tajwid dan maksud tanda-tanda
bacaan dalam ayat yang dibaca.
1.1 Pelaksanaan kaedah Tasmik.
- Guru mendengar dan meneliti bacaan pelajar.
Kedudukan guru adalah berhampiran dengan pelajar dengan
keadaan berhadapan atau bersemuka supaya guru dapat melihat cara pelajar
menyebut kalimah atau ayat.
- Pelajar dikehendaki membaca atau menghafaz dengan suara
yang nyaring supaya guru dapat mendengar dengan jelas sebutan dan bacaan
pelajar.
- Pelajar membaca secara kumpulan kecil atau individu.
1.2 Kelebihan kaedah tasmik.
- Guru dapat mengesan kelemahan bacaan pelajar dalam waktu yang cepat.
- Guru dapat memperbetulkan bacaan pelajar dengan tepat.
- Guru dapat mengesan dan mengenalpasti tahap kebolehan sebenar pelajar
- Guru dapat memastikan pelajar tidak melakukan kesilapan.
- Guru dapat mendisiplinkan pelajar dengan cara yang berkesan.
Kaedah tasmik sangat sesuai diaplikasikan dalam bidang
Asuhan Tilawah al-Quran bahagian ayat bacaan. Melalui kaedah ini guru
dapat mengesan dengan cepat penguasaan pelajar terhadap ayat bacaan yang
diajar. Bagi mencapai hasil pembelajaran seperti yang dirancang, guru
perlu melaksanakan langkah-langkah yang sesuai mengikut aras
pembelajaran.
1.3 Aplikasi kaedah Tasmik dalam pengajaran.
Aplikasi kaedah tasmik bagi hasil pembelajaran aras satu.(Ayat bacaan)
- Guru meminta pelajar membaca ayat yang telah dipelajari secara kelas dan kumpulan secara kuat dan nyaring.
- Guru mendengar bacaan pelajar dengan teliti supaya dapat mengesan kesalahan dalam bacaan pelajar.
- Guru meminta pelajar membaca ayat secara individu. Pelajar membaca bergilir-gilir secara individu.
- Guru meneliti bacaan pelajar dan memperbetulkan kesalahan pelajar.
- Guru perlu memastikan semua pelajar dapat membaca ayat dengan betul.
Aplikasi kaedah tasmik bagi hasil pembelajaran aras dua (Ayat bacaan)
– Guru meminta pelajar membaca ayat secara kumpulan. Guru
mendengar bacaan pelajar dengan teliti dan memperbetulkan bacaan murid.
- Pelajar diminta membaca ayat secara individu dengan suara kuat di hadapan guru.
- Guru meneliti bacaan pelajar dan membuat pembetulan serta merta kesalahan pelajar.
- Guru menyoal pelajar tentang kalimah dan ayat yang mengandungi bacaan panjang dan pendek.
- Pelajar menjawab soalan guru secara lisan. Guru memberi
bimbingan kepada pelajar sekiranya murid tidak menjawab soalan guru
dengan tepat.
- Guru perlu memastikan pelajar dapat menguasai bacaan dengan betul mengikut hukum tajwid.
Aplikasi kaedah tasmik bagi hasil pembelajaran aras tiga.(Ayat bacaan)
- Guru meminta pelajar membaca ayat secara kumpulan.
Pelajar dikumpulkan mengikut tahap pencapaian. Guru mendengar bacaan
pelajar dengan teliti.
- Pelajar diminta membaca ayat secara individu dengan suara kuat di hadapan guru.
- Guru meneliti bacaan pelajar dan membuat pembetulan serta merta kesalahan pelajar.
- Guru menyoal pelajar tentang hukum tajwid yang terdapat dalam ayat yang dibaca.
- Pelajar menjawab soalan guru secara lisan. Guru memberi
bimbingan kepada murid sekiranya murid tidak menjawab soalan guru dengan
tepat.
- Pada aras ini, guru perlu memastikan pelajar telah dapat menguasai bacaan dengan betul, fasih dan bertajwid