Pengertian Zakat dari Sudut Bahasa
Keberkatan, kesucian, perkembangan dan kebaikan. Sebab dinamakan
zakat ialah kerana ia dapat mengembangkan harta yang telah dikeluarkan
zakatnya dan menjauhkannya dari segala kerosakan sebagaimana Ibnu
Taimiah berkata: Diri dan harta orang yang mengeluarkan zakat menjadi
suci dan bersih serta hartanya berkembang secara maknawi.
Pengertian Zakat dari Sudut Syarak
Sebahagian harta tertentu yang telah diwajibkan oleh Allah s.w.t
untuk diberikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya sebagaimana
yang telah dinyatakan di dalam al-Quran atau ia juga boleh diertikan
dengan kadar tertentu dari harta tertentu yang diberikan kepada
golongan tertentu dan lafaz zakat juga digunakan terhadap bahagian
tertentu yang dikeluarkan dari harta orang yang wajib mengeluarkan
zakat.
Zakat Syar'ie kadang kala dinamakan sedekah di dalam bahasa al-Quran dan Hadis sebagaimana Firman Allah s.w.t:
Yang bermaksud: Ambillah (sebahagian) dari
harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan
mereka dan mensucikan mereka dan doakanlah untuk mereka, sesungguhnya
doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Surah at-Taubah, Ayat: 103).
Manakala di dalam Hadis Sahih pula, Rasulullah s.a.w bersabda kepada Muaz ketika baginda mengutuskannya ke Yaman:
(Beritahulah kepada mereka bahawa Allah s.w.t mewajibkan mereka
mengeluarkan sedekah (zakat) dari harta mereka, sedekah tersebut
diambil daripada orang yang kaya di kalangan mereka dan diberikan
kepada orang-orang yang miskin di kalangan mereka). Hadis ini
dikeluarkan oleh jemaah ahli hadis.
Hukum Zakat
Zakat merupakan rukun ketiga dari lima rukun Islam
dan ia juga merupakan salah satu di antara panji-panji Islam di mana
Islam tidak boleh ditegakkan tanpanya. Orang yang enggan membayar zakat
boleh diperangi dan orang yang menolak kewajipan zakat adalah dianggap
kafir.
Zakat telah difardukan pada tahun kedua Hijrah dan
ia telah disebut di dalam beberapa potong ayat di dalam Kitab Suci
al-Quran di antaranya firman Allah:
Yang bermaksud: Dan dirikanlah
kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu semua
(berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
(Surah al-Baqarah, Ayat: 43)
dan firman Allah:
Yang bermaksud: Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum.
Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).
(Surah al-Ma'aarij, Ayat: 24, 25).
Hikmat Disyariatkan Zakat dan Kedudukannya:
Di antara hikmat disyariatkan zakat ialah,
pengurusannya mampu memperbaiki kedudukan masyarakat dari sudut moral
dan material di mana ia dapat menyatukan anggota masyarakat sehingga
menjadi seolah-olah sebatang tubuh. Selain dari itu ia juga dapat
membersihkan jiwa dari sifat kedekut dan bakhil. Ia juga merupakan
benteng keamanan di dalam sistem ekonomi Islam dan penjamin ke arah
kestabilan dan kesinambungannya.
Zakat ini juga merupakan ibadat material dan penyebab untuk mendapat rahmat daripada Allah s.w.t sebagaimana firmanNya:
Yang bermaksud: Dan rahmatKu
meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi
orang-orang yang bertakwa dan yang memberi zakat.
(Surah al-A'raaf, Ayat: 156).
Begitu juga ia merupakan syarat untuk mendapatkan bantuan daripada Allah s.w.t sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang
menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi
Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka
kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta
memberi zakat.
(Surah al-Hajj, Ayat: 40, 41).
Di samping itu zakat juga merupakan syarat persaudaraan di dalam agama Islam sebagaimana firmanNya:
Yang bermaksud: Oleh itu, jika
mereka bertaubat (dari kekufuran) dan mendirikan sembahyang serta
memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama.
(Surah at-Taubah, Ayat: 11).
Zakat juga dianggap sebagai ciri-ciri masyarakat mukmin sebagaimana firman Allah:
Yang bermaksud: Dan orang-orang
yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi
setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang
daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi
zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi
rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Surah at-Taubah, Ayat: 71).
Zakat turut digelarkan sebagai salah satu sifat orang yang mengimarahkan rumah Allah (masjid) sebagaimana firmanNya:
Yang bermaksud: Hanyasanya yang
layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah
orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan
sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada
Allah.
(Surah at-Taubah, Ayat: 18).
Malah zakat ini jugalah yang dianggap sebagai ciri-ciri mukmin yang berhak mewarisi syurga firdaus sebagaimana firmanNya:
Yang bermaksud: Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu).
(Surah al-Mu'minuun, Ayat: 4).
Manakala hadis nabi yang menyebut tentang kedudukan
zakat pula ialah sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu
Umar r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diperintahkan
supaya memerangi manusia sehinggalah mereka bersaksi (mengakui) bahawa
tidak ada Tuhan selain daripada Allah dan sesungguhnya nabi Muhammad
adalah Rasulullah, mereka mendirikan sembahyang dan membayar zakat.
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Manakala hadis yang diriwayatkan daripada Jarir bin Abdullah r.a katanya:
Aku berbaiah kepada Rasulullah s.a.w untuk sentiasa
mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan memberi nasihat kepada
setiap orang umat Islam.
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:
Islam dibina di atas lima perkara, iaitu menyaksikan
bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya nabi Muhammad
adalah Rasulullah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengerjakan
Haji di Baitullah bagi orang yang berkemampuan dan berpuasa pada bulan
Ramadan.
(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Tidak Mahu Mengeluarkan Zakat dan Ancamannya
Sesiapa yang mengingkari kewajipan zakat, ini
bererti orang tersebut terkeluar dari agama Islam dan dia hendaklah
diminta supaya bertaubat. Jika dia tetap bertegas tidak mahu bertaubat,
dia boleh dibunuh sebagai seorang yang kafir kecuali orang tersebut
baru sahaja memeluk Islam di mana dia boleh dimaafkan disebabkan oleh
kejahilannya tentang hukum-hakam yang berkaitan dengan ajaran Islam.
Dalam keadaan ini orang berkenaan hendaklah diajar
sehingga dia betul-betul jelas dan dapat mengikutinya dengan baik.
Adapun orang yang enggan membayarnya tetapi masih tetap mengakui
tentang kewajipan zakat, maka orang yang berkenaan berdosa kerana
tindakannya itu walau bagaimanapun dia tidaklah sampai terkeluar dari
agama Islam. Oleh yang demikian, pemerintah wajib mengambil zakat
hartanya secara paksa sekaligus menjatuhkan hukuman takzir (pengajaran)
kepadanya.
Jika terdapat suatu golongan masyarakat yang
mempunyai kekuatan dan enggan membayar zakat tetapi mereka masih tetap
mengakui kewajipan mengeluarkan zakat, maka pemerintah berhak memerangi
mereka sehingga mereka membayar zakat masing-masing berdasarkan hadis
yang diriwayatkan oleh jemaah ahli hadis daripada Abu Hurairah r.a
katanya:
Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w wafat, Abu Bakar
dilantik menjadi khalifah menggantikan Rasulullah s.a.w dan pada waktu
itu ramai dikalangan bangsa Arab yang kufur (murtad).
Lalu Umar r.a berkata:
Bagaimanakah kamu ingin memerangi orang-orang yang
murtad kerana Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diperintahkan supaya
memerangi orang-orang yang murtad sehingga mereka mengakui bahawa tiada
Tuhan selain Allah, jika mereka menyatakan pengakuan tersebut, maka
jiwa dan hartanya terpelihara daripada aku kecuali apabila orang
berkenaan melakukan tindakan yang boleh dijatuhkan hukuman dan
perhitungan orang tersebut terserahlah kepada Allah s.w.t.
Lantas Abu Bakar r.a menjawab:
Demi Allah, aku akan terus memerangi orang yang
memisahkan di antara sembahyang dengan zakat kerana zakat adalah
kewajipan terhadap harta. Demi Allah, seandainya mereka tetap enggan
membayar walaupun seekor anak kambing betina yang belum sampai umurnya
satu tahun sedangkan mereka pernah membayarnya kepada Rasulullah s.a.w,
aku tetap akan memerangi mereka kerananya.
Kemudian Umar r.a berkata:
Demi Allah sesungguhnya Allah telah menerangi dada
Abu Bakar untuk memerangi mereka dan aku juga yakin bahawa tindakan
tersebut adalah benar.
Manakala di dalam hadis lain yang juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda:
Tidak seorang pun yang memiliki emas dan perak
yang tidak dibayar zakatnya kecuali di hari kiamat nanti dia akan
disediakan dengan lembaran atau kepingan (besi) yang diperbuat dari api
neraka kemudian dipanaskan di dalam api neraka jahanam seterusnya
digosok ke badan, dahi dan punggungnya. Setiap kali kepingan tersebut
sejuk, ia akan dipanaskan kembali kemudian digosok lagi kepadanya
secara berterusan pada satu masa yang mana tempohnya sama seperti 50
ribu tahun sehinggalah selesai diputuskan nasib seluruh manusia. Pada
waktu itu setiap orang masing-masing dapat melihat nasibnya (jalannya)
adakah dia ditempatkan ke syurga atau ke neraka.
(Hadis riwayat Imam Muslim).
Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada
Abdullah bin Mas'ud r.a, daripada Rasulullah s.a.w baginda bersabda:
Tidak seorangpun di kalangan hamba yang tidak membayar zakatnya kecuali
di hari kiamat nanti hartanya akan diperlihatkan kepadanya sebagai
seekor ular yang sangat besar dan sangat berbisa lalu membelit
lehernya. Kemudian Nabi s.a.w membaca kepada kami ayat suci al-Quran
yang menegaskan lagi perkara tersebut:
Yang bermaksud: Dan jangan
sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah
dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya, menyangka bahawa
keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan dia adalah buruk bagi
mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka
bakhilkan itu pada hari kiamat kelak.
(Surah Aali Imran, Ayat: 180).
Hadis Sahih, riwayat Imam Nasaie, Ibnu Khuzaimah
dan Ibnu Majah serta lafaz hadis juga diambil dari riwayat Ibnu Majah.
Dalam sebuah hadis yang lain pula diriwayatkan daripada Ali r.a
katanya:
Rasulullah s.a.w mengutuk (melaknat) orang yang
memakan riba, pemberi riba, saksi riba, penulis riba, pelukis tatu,
orang meminta supaya dilukis tatu, orang yang enggan membayar zakat,
pengambil upah cina buta dan suami yang mengupah cina buta.
(Hadis Hasan, riwayat Imam Ahmad dan Nasaie).
Syarat-syarat Zakat
Zakat diwajibkan ke atas beberapa jenis harta dengan
diletakkan beberapa syarat yang mesti dipenuhi. Syarat-syarat ini
dibuat untuk membantu pembayar zakat agar dapat membayar zakat hartanya
dengan rela hati sehingga matlamat sebenar zakat disyariatkan akan
tercapai.
Syarat-syarat tersebut adalah sebagaimana berikut:
- Dimilik dengan sempurna.
Apa yang dimaksudkan dengan dimiliki dengan
sempurna ialah pemilik harta tersebut bebas menggunakan harta yang
dimiliki olehnya tanpa campur tangan orang lain. Hal ini disyaratkan
kerana zakat pada asalnya bermakna memiliki dan diberikan kepada orang
yang berhak menerimanya dan keadaan ini tidak dapat dilaksanakan
kecuali harta yang dimiliki itu adalah harta milik yang sempurna. Oleh
yang demikian tidak dikenakan zakat terhadap harta yang berada diluar
kekuasaan pemilik atau harta yang tuannya tiada dan tidak diketahui di
mana tempatnya atau tidak mampu untuk mengesan tuannya.
Telah diriwayatkan oleh beberapa sahabat: Tidak
dikenakan zakat terhadap harta yang diluar kekuasaan pemilik, atau
cincin mas kahwin yang belum dibayar kerana wanita tidak dapat
menggunakannya, tidak dikenakan zakat terhadap hutang yang tidak dapat
dibayar, akan tetapi apabila sudah berada di tangan, barulah ianya
wajib dikeluarkan zakat dengan hitungan bayaran satu tahun sahaja
walaupun hutang atau mas kahwin tersebut telah berada di tangan orang
lain atau suami bertahun-tahun lamanya, begitu juga hutang terhadap
orang yang tidak mampu membayarnya.
- Perkembangan sebenar atau mengikut taksiran.
Maksudnya ialah harta itu membiak subur secara
semulajadi atau taksir. Apa yang dimaksudkan dengan berkembang subur
secara semulajadi seumpama harta itu bertambah dengan cara dilahirkan,
dikembangkan dan diperniagakan. Apa yang dimaksudkan dengan taksiran
pula ialah harta yang kemungkinan nilainya akan bertambah seperti emas,
perak dan wang kerana harta seumpama ini boleh bertambah nilainya
dengan cara diperniagakan, maka hendaklah ianya dikeluarkan zakat.
Adapun aset tetap atau harta yang dimiliki yang tidak berkembang secara
semulajadi atau taksiran maka tidak wajib dikeluarkan zakat.
- Cukup nisab.
Nisab ialah kadar harta yang telah ditentukan oleh
syarak, di mana sesuatu harta itu tidak dikenakan zakat sekiranya tidak
sampai kadar yang telah ditentukan. Antara syarat wajib zakat ke atas
harta yang diwajibkan zakat ialah sampai nisab.
Syarat ini dikenakan ke atas wang tunai, emas,
perak, barang perniagaan dan haiwan. Sebagaimana yang telah disebut di
dalam hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Tidak wajib zakat ke atas
emas kecuali apabila sampai 20 dinar (1 Dinar= 4.25 gram, oleh itu 20
Dinar= 85 gram) apabila telah sampai 20 Dinar maka zakatnya ialah
setengah Dinar. Begitulah juga perak tidak dikenakan zakat kecuali
apabila sampai 200 Dirham (1 Dirham= 2.975 gram, oleh itu 200 Dirham=
595 gram) di mana zakatnya ialah 5 Dirham. Nisab emas ialah 20 mithqal=
85 gram emas tulin, manakala nisab perak pula ialah 200 Dirham= 595
gram perak tulin.
Nisab zakat barang perniagaan ialah sama nilainya
dengan zakat emas iaitu 85 gram emas tulin, manakala barang-barang
zakat yang lain telah ditentukan nisabnya. Termasuk barang yang
dikenakan zakat ialah barang yang telah cukup nisab atau lebih, adapun
yang kurang dari satu nisab maka ianya tidak dikenakan zakat.
Kesempurnaan nisab pula dilihat pada awal dan akhir haul, di mana
kekurangan dan kelebihan di antara awal dan akhir haul tidak akan
mempengaruhi nisab. Digabungkan faedah atau hasil yang diperolehi dari
harta zakat diakhir haul, ini mengikut pandapat mazhab Imam Hanafi dan
Maliki di mana cara ini adalah lebih mudah untuk dipraktikkan lantaran
itu ianya disepakati oleh Jumhur Fukaha.
Kesan Percampuran dalam Nisab dan Kadar yang Wajib Dikeluarkan
Harta campuran adalah harta yang dimiliki oleh
beberapa orang kemudian digabungkan seolah-oleh dimilik oleh seorang
dengan sebab sama dari sudut sifat dan keadaannya. Seumpama satu tempat
pemeliharaan, satu tempat minum dan satu kandang termasuklah dari
sudut jaminan, pengurusan, pembiayaan terhadap harta perusahaan.
Pada asalnya asas percampuran hanya digunakan
terhadap binatang ternakan, akan tetapi terdapat sebahagian mazhab yang
lain menggunakan kaedah ini selain dari binatang seumpama terhadap
tanaman, buah-buahan dan wang. Apabila kaedah ini dikenakan terhadap
harta perusahaan, kita akan dapati seolah-olah harta itu milik seorang,
sama ada dari sudut kiraan nisab dan kadar yang wajib dikeluarkan
zakat.
Contohnya:
Kita dapati bahawa nisab haiwan yang dimiliki oleh
tiga orang dan setiap orang memiliki sebanyak 15 ekor kambing, apabila
dicampur menjadi 45 ekor, di mana jumlah ini telah melebihi jumlah
nisab yang dikenakan zakat iaitu sebanyak 40 ekor kambing, maka wajib
dikeluarkan zakat seekor kambing, akan tetapi sekiranya dihitung ke
atas setiap pemilik sudah pastilah nisabnya tidak akan sampai dan tidak
boleh dikeluarkan zakat.
- Lebih dari keperluan asas.
Barang-barang yang dimiliki secara asasi kerana
berhajatkan kepadanya seperti rumah yang digunakan untuk berteduh,
alat-alat yang digunakan, mesin-mesin, kenderaan-kenderaan seperti
kereta motor dan alat-alat rumah adalah tidak dikenakan zakat, begitu
juga wang yang disimpan untuk membayar hutang (akan dijelaskan
kemudian) juga tidak diwajibkan zakat, kerana orang yang berhutang
sangat berhajatkan kepada harta yang berada ditanganya bagi
mempertahankan dirinya dari terus berhutang dan dihina. Oleh yang
demikian, maka harta yang diperlukan atau dihajati tidak diwajibkan
zakat.
- Cukup haul.
Haul ialah peredaran harta satu nisab dalam 12
bulan Kamariah (bulan Hijrah). Akan tetapi jika terdapat kesusahan
untuk menghitungnya dengan bulan Hijrah disebabkan terikat dengan
kiraan tahun Masihi, maka boleh dikira mengikut tahun Masihi dengan
penambahan kadar yang wajib dikeluarkan iaitu dari 2.5 % kepada 2.577
kerana bilangan hari tahun Masihi lebih dari tahun Hijri.
Tidak disyaratkan haul kepada zakat tanam-tanaman dan buah-buahan, kerana firman Allah s.w.t yang bermaksud:
Keluarkanlah haknya iaitu zakat ketika hari menuai.
(Surah al-An'am, Ayat:141),
Samalah juga terhadap zakat galian dan harta yang ditanam di dalam tanah di mana tidak disyaratkan haul.
- Mencegah pergandaan di dalam zakat.
Apabila sesuatu harta telah dikeluarkan zakatnya
kemudian harta tersebut berubah bentuk, seumpama hasil pertanian yang
telah dikeluarkan zakat kemudian hasil pertanian itu dijual dengan
harga tertentu, ataupun kambing yang telah dikeluarkan zakat setelah
cukup nisab kemudian dia menjual kambing-kambing tersebut dengan harga
tertentu, maka harta yang diperolehi dari jualan harta yang telah
dikeluarkan zakat apabila diperolehi di akhir haul tidak perlu
dikeluarkan zakat di dalam haulnya agar tidak berlaku pergandaan di
dalam pembayaran zakat terhadap satu jenis harta. Sebagaimana kenyataan
Rasulullah s.a.w di dalam hadisnya yang bermaksud:
Tidak ada gandaan dalam berzakat.
(Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
- Harta umum dan harta waqaf kebajikan:
Harta umum tidak wajib dikeluarkan zakat kerana
harta itu dimiliki oleh orang ramai dan di antara mereka itu terdapat
fakir miskin. Dalam hal ini tidak terdapat milik khusus malah tidak ada
agensi kerajaan yang mengambil zakat dari hartanya sendiri untuk
diberikan kepada dirinya sendiri. Samalah juga halnya terhadap harta
waqaf yang diwaqafkan untuk kegunaan kepentingan umum seperti untuk
para fakir miskin, masjid-masjid, anak-anak yatim dan lain-lain atas
jalan kebaikan dan kebajikan umum. Ini adalah kerana pemilik asal harta
tersebut telah mewakafkannya untuk kepentingan umum iaitu tidak
menetapkan milik orang tertentu. Begitu juga harta-harta persatuan,
yayasan-yayasan kebajikan sosial tidak dikenakan zakat kerana
harta-harta tersebut adalah milik sekelompok orang-orang fakir yang
hanya disalurkan kepada orang-orang yang memerlukan disamping
harta-harta itu bukan milik seseorang atau orang-orang tertentu.
Jenis-jenis Zakat
Zakat Wang Tunai (Emas, Perak dan Mata Wang):
Definisi Wang Tunai:
Apa yang dimaksudkan dengan wang tunai ialah semua
jenis mata wang kertas dan logam, sama ada mata wang tersebut digunakan
di negeri yang ingin dikeluarkan zakat ataupun mata wang negeri lain.
Kewajipan Mengeluarkan Zakat Wang Tunai:
Kewajipan mengeluarkan zakat wang tunai telah
ditetapkan di dalam al-Quran, hadis dan ijmak ulama. Adapun ayat yang
menyebut tentang perkara tersebut ialah firman Allah s.w.t Yang
bermaksud:
"Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan
perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah
kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam
Neraka Jahannam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka,
serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang
telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab
dari) apa yang kamu simpan itu. "
(Surah at-Taubah, Ayat: 34-35).
Manakala ketetapan yang disebut di dalam hadis pula ialah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
Harta yang telah dibayar zakatnya tidak lagi dinamakan dengan harta simpanan (kanzun).
(Hadis riwayat Hakim dan disahkan oleh Zahabi).
Begitu juga sabda Nabi s.a.w:
Tidak seorang pun yang memiliki emas dan perak yang
tidak dibayar zakatnya kecuali di hari kiamat nanti dia akan
disediakan dengan lembaran atau kepingan (besi) yang diperbuat dari api
neraka kemudian dipanaskan di dalam api neraka jahanam seterusnya
digosok ke badan, dahi dan punggungnya.
(Hadis riwayat Imam Muslim).
Ulama-ulama Islam di setiap masa telah bersepakat
di atas kewajipan mengeluarkan zakat wang tunai (emas dan perak) dan
perkara tersebut juga dikiaskan kepada semua jenis mata wang yang lain
kerana telah diputuskan bahawa ia juga menggunakan hukum yang sama
dengan emas dan perak. Institusi Fekah Islam di Jeddah telah membuat
keputusan di dalam no. 9, perkara 3 yang berbunyi: (Wang kertas juga
dianggap sebagai kekayaan wang tunai yang memiliki nilai (daya beli)
sepenuhnya dan ia juga menggunakan hukum syarak sama sebagaimana yang
ditetapkan untuk emas dan perak seperti hukum riba, zakat, jualan salam
dan sebagainya).
Nisab Zakat Wang Tunai:
Harta kekayaan yang ingin dikeluarkan zakat
hendaklah mencukupi nisab iaitu kadar minimum yang telah ditetapkan
oleh syarak di mana zakat tidak wajib dikeluarkan dari harta yang
kurang dari kadar tersebut tetapi jika harta yang dimiliki telah
mencukupi kadar tersebut, ia wajib dikeluarkan zakat.
Nisab emas dan mata wang emas ialah sebanyak 20 misqal iaitu bersamaan dengan 85 gram emas tulin. (1 misqal = 4.25 gram).
Sedangkan nisab perak dan mata wang perak pula
adalah sebanyak 200 dirham iaitu bersamaan dengan 595 gram perak tulin.
(1 dirham = 2.975 gram).
Institusi Penyelidikan Islam (dalam muktamarnya
kali kedua) telah menggariskan ketetapan yang berbunyi: (Penaksiran
nisab zakat kekayaan mata wang logam (wang syiling), mata wang kertas,
bank notes (seperti cek, wang pos dan sebagainya) dan komoditi
perniagaan (barang perniagaan) adalah dihitung berdasarkan nilai emas.
Setiap harta dari kekayaan tersebut yang telah mencapai kadar nilai 20
misqal emas, ia hendaklah dikeluarkan zakat kerana nilai emas lebih
stabil berbanding dengan kekayaan yang lain).
Untuk mengetahui harga pasaran semasa bagi 1 misqal
emas, ia hendaklah dirujuk kepada keputusan yang telah dibuat oleh
pakar dalam bidang ini.
Sesetengah penyelidik ekonomi Islam menggunakan
alasan lain di dalam memilih nisab emas sebagai pengukur untuk
mentaksirkan nisab zakat wang tunai. Alasan mereka ialah kerana emas
merupakan galian yang bernilai tinggi dan sering dijadikan jaminan
(walaupun dalam kadar yang kecil) untuk wang kertas yang dikeluarkan
oleh sesebuah negara malah berdasarkan nilai emas inilah nilai wang
kertas ditaksirkan sehingga emas seolah-olah menjadi mata wang
antarabangsa di samping menjadi panduan asas untuk menilai mata wang
dunia dan mata wang tersebut juga dirujuk kepadanya walaupun harganya
kadang kala mengalami perubahan dari semasa ke semasa mengikut
perubahan harga pasaran.
Mengikut pendapat mazhab Hanafi, nilai emas boleh
digabungkan dengan nilai perak untuk mencukupi nisab perak yang ada
(nilai sahaja bukannya benda). Oleh yang demikian nilai emas yang ada
perlu dihitung begitu juga dengan nisbah (kadar) emas tersebut
berbanding dengan nisabnya kemudian dihitung pula harga perak yang ada.
Apabila nilai kedua-duanya mencukupi nisab, ia hendaklah dikeluarkan
zakat kerana pengertian "kaya" telah terbukti dengan memiliki nilai
sejumlah nisab. Di samping itu nilai komoditi perniagaan juga boleh
digabungkan dengan emas dan perak yang ada untuk mencukupi nisab. Nisab
kekayaan wang tunai, mata wang kertas dan wang logam lain (duit
syiling) dihitung berdasarkan emas iaitu dengan kadar yang sama dengan
nilai 85 gram emas tulin - emas yang masih dalam bentuk ketulan emas
(999) - mengikut harga di hari cukup nisab yang mewajibkan zakat di
negeri tempat terdapat harta pembayar zakat.
Adapun bagi emas yang tidak tulin, berat
timbangannya hendaklah dikurangkan mengikut kadar berat bahan
campurannya yang bukan dari jenis emas.
Contohnya di dalam emas 18 karat, berat
timbangannya hendaklah dikurangkan sebanyak satu perempat dan ia juga
berupa enam perdua puluh empat (1/4 = 6/24) dan yang selebihnya
hendaklah dikeluarkan zakat.
Manakala di dalam emas 21 karat berat timbangannya
hendaklah dikurangkan sebanyak satu perlapan dan ia berupa tiga perdua
puluh empat (3/24 = 1/8) dan yang selebihnya hendaklah dikeluarkan
zakat.
Begitu juga dengan cara penghitungan perak yang tidak tulin.
Syarat-syarat Diwajibkan Mengeluar Zakat Emas, Perak dan Mata Wang:
Zakat wang tunai, emas dan perak hanya diwajibkan
apabila memenuhi syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat sebagaimana
yang telah dijelaskan.
Kadar Zakat Emas, Perak dan Mata Wang Yang Wajib Dikeluarkan:
Kadar zakat yang wajib dikeluarkan dari emas, perak dan mata wang ialah sebanyak 1/40 (2.5%).
Cara Untuk Menghitung Kadar Zakat Emas dan Perak Dalam Bentuk Nilai Mata Wang Tunai:
Jika pembayar zakat ingin mengeluarkan zakat emas
ataupun zakat perak yang diwajibkan kepadanya dengan menggunakan wang
tunai, nilai yang wajib dibayar adalah nilai yang diambil dari hasil
kiraan zakat yang dibuat terhadap emas dan perak. Contohnya: 25 gram
emas (kadar zakat yang wajib dikeluarkan) didarab dengan harga 1 gram
emas. Kita anggarkan harganya adalah sebanyak (4 Dinar), setelah itu
kita akan dapati hasilnya iaitu nilai zakat yang wajib dikeluarkan
dalam bentuk mata wang. Proses pengiraannya begini: Kadar zakat = 25
gram emas x 4 dinar (harga 1 gram) = 100 Dinar.
Zakat Perhiasan, Kekayaan Emas dan Perak
Perhiasan perempuan yang disediakan hanya untuk
penggunaan (pemakaian) peribadi sahaja tidak wajib dikeluarkan zakat
selagi ia tidak melebihi kadar pakaian kebiasaan bagi perempuan yang
mempunyai kedudukan sosial yang setaraf dengannya. Adapun perhiasan
yang lebih dari kadar yang biasa dipakai, ia wajib dikeluarkan zakat
kerana langkah tersebut sama seperti (termasuk di dalam pengertian)
menyimpan dan mengumpul harta. Begitu juga seseorang wanita wajib
mengeluarkan zakat perhiasan yang sudah tidak dipakai lagi disebabkan
oleh modelnya yang telah lama atau sebagainya.
Zakat bagi kedua-dua perhiasan tersebut dihitung
berdasarkan berat timbangan emas dan perak yang tulin dan ia tidak
dikira dengan kadar harga, tidak dihitung dengan harga yang lebih mahal
disebabkan oleh reka bentuk dan buatannya serta tidak dihitung dengan
harga batu permata yang diikat bersamanya dan aksesori tambahan yang
lain selain dari emas dan perak yang menghiasinya.
Keadaan ini berbeza dengan emas dan perak yang
masih ada di tangan peniaga kerana zakatnya dihitung berdasarkan nilai
keseluruhan bagi perusahaannya termasuk perhiasan batu-batu permata
yang ada.
Perhiasan Emas dan Perak yang Haram dipakai Wajib Dikeluarkan Zakat
Perhiasan emas yang haram dipakai tetapi dimiliki
oleh kaum lelaki wajib dikeluarkan zakat seperti gelang emas atau jam
tangan tetapi jika dia memakai cincin perak, ia tidak wajib dikeluarkan
zakat kerana perak adalah dihalalkan bagi kaum lelaki. Begitu juga
dengan wanita yang memakai perhiasan kaum lelaki sedangkan perhiasan
tersebut diharamkan bagi mereka, ia wajib dikeluarkan zakat.
Kesimpulannya, kesemua perhiasan emas dan perak
walaupun haram dipakai wajib dikeluarkan zakat apabila telah cukup
nisab sama ada nisab tersebut cukup dengan sendirinya ataupun cukup
secara menggabungkan dengan harta yang lain. Penjelasan mengenai nisab
emas dan perak telahpun dijelaskan sebelum ini. Selain dari itu wang
tunai juga hendaklah digabungkan dengan emas dan perak untuk menghitung
nisab, begitu juga dengan komoditi perniagaan hendaklah digabungkan
dengan barang yang lain.
Kadar zakat perhiasan emas dan perak yang wajib dikeluarkan juga adalah sebanyak 2.5% atau 1/40.
Zakat Bon
Hukum Syarak Dalam Pengurusan Jual Beli Dengan Menggunakan Bon
Bon (keterangan akuan hutang atau pinjaman)
merupakan sebahagian dari pinjaman yang diberikan kepada syarikat atau
pihak yang mengeluarkannya. Syarikat atau pihak berkenaan memberikan
faedah tertentu terhadap bon tersebut ketika ia dikeluarkan. Faedah ini
tidak dikaitkan dengan keuntungan atau kerugian syarikat dan syarikat
wajib menjelaskannya dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Bon
tersebut memiliki harga nominal (harga seimbang) iaitu harga asli
ketika ia dikeluarkan pada kali pertama dan harga pasaran disesuaikan
dengan kedudukan tawaran dan permintaan.
Hukum berurusan jual beli dengan menggunakan bon
adalah haram mengikut syariat Islam kerana ia mengandungi faedah riba
yang diharamkan, begitu juga kerana ia termasuk di dalam kategori jual
beli hutang kepada orang lain (orang yang tidak berkaitan) dan jual
beli tersebut adalah tidak dibolehkan.
Cara Membayar Zakat Bon
Walaupun urusan jual beli dengan menggunakan bon
diharamkan kerana ia mengandungi faedah riba yang diharamkan, pemilik
bon tetap diwajibkan membayar zakat dari nilai asal (nilai nominal bon)
yang dimilikinya pada setiap tahun secara menggabungkan nilai modal
bon tersebut dengan hartanya yang lain dalam hitungan nisab dan haul,
kemudian membayar sebanyak 1/40 atau 2.5% dari jumlah keseluruhannya
tidak termasuk faedah riba yang dihasilkan. Faedah riba yang diharamkan
itu hendaklah dibelanjakan ke arah kebaikan dan kepentingan umum
selain dari pembinaan masjid, percetakan al-Quran dan sebagainya.
Perbelanjaan faedah riba dengan cara sedemikian
adalah untuk menghindarkan diri dari harta yang haram, ia juga tidak
boleh dihitung sebagai harta yang wajib dikeluarkan zakat, tidak boleh
dibelanjakan untuk kepentingan diri sendiri, anak-anak dan keluarga
tetapi sebaik-baiknya ia disumbangkan kepada orang-orang yang
betul-betul terdesak seperti orang-orang yang ditimpa kebuluran,
musibah, bencana alam dan sebagainya.
Zakat Saham
Hukum Syarak Dalam Pengurusan Dengan Menggunakan Jual Beli Saham
Saham adalah merupakan sebahagian dari modal
sesebuah syarikat yang akan mengalami keuntungan dan kerugian sesuai
mengikut keuntungan dan kerugian syarikat berkenaan. Pemilik saham
adalah merupakan salah seorang rakan kongsi di dalam sesebuah syarikat
atau dengan kata lain dia merupakan pemilik sebahagian dari harta
syarikat mengikut kadar nisbah bilangan saham-sahamnya berbanding
dengan jumlah keseluruhan saham syarikat dan pemilik saham berhak
menjual sahamnya bila-bila sahaja dia kehendaki.
Saham mempunyai harga nominal yang ditetapkan
ketika dikeluarkan kali pertama dan ia juga mempunyai harga pasaran
yang ditentukan berdasarkan kedudukan tawaran dan permintaan di bursa
saham tempat di mana saham-saham tersebut beredar.
Kedudukan halal atau haramnya sesuatu saham adalah
dihukum mengikut kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh syarikat yang
telah diberikan saham. Oleh yang demikian, haram memberi saham kepada
sesebuah syarikat dan haram memiliki sahamnya apabila dasar utama
syarikat tersebut adalah untuk beroperasi dan menjalankan perniagaan
sesuatu barang yang diharamkan seperti melaksanakan riba serta membuat
dan berniaga arak ataupun mengamalkan sistem jualan yang diharamkan
seperti sistem jualan dengan menunjukkan contoh barang dan jualan gharar
(jualan barang yang tidak pasti harga, barang jualan, waktu dan
kemampuan untuk menyerahkannya).
Cara Membayar Zakat Saham
- Jika syarikat yang berkaitan telah membayar
zakat sahamnya sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam bahagian
zakat syarikat, pemilik saham tidak lagi wajib mengeluarkan zakat
sahamnya untuk mengelakkan dari berlaku pergandaan di dalam zakat
(mengeluar zakat sebanyak dua kali).
- Adapun apabila syarikat tersebut tidak
mengeluarkan zakatnya, pemilik saham wajib membayar zakatnya dengan
cara sebagaimana berikut:
- Apabila pemilik saham mengambil saham-sahamnya
untuk diperniagakan secara menjualbelikan sahamnya, maka kadar zakat
yang wajib dikeluarkan ialah sebanyak 1/40 atau 2.5% dari harga pasaran
yang sah pada hari diwajibkan zakat (waktu cukup haul) seperti
komoditi perniagaan yang lain.
Jika pemilik saham mengambil sahamnya hanya untuk
mendapatkan manfaat dari keuntungan tahunan saham tersebut, maka cara
pembayaran zakatnya adalah sebagaimana berikut:
- Jika dia mampu untuk mengetahui (sama ada
melalui syarikat yang mengeluarkan saham atau melalui pihak yang lain)
kadar harga yang telah ditentukan bagi setiap saham dari jumlah
keseluruhan aset syarikat yang wajib dikeluarkan zakat, dia wajib
membayar zakatnya sebanyak 1/40 atau 2.5% dari nilai saham tersebut.
- Jika dia tidak dapat mengetahuinya, dia
hendaklah menggabungkan keuntungan saham tersebut dengan kekayaan yang
lain dalam hitungan haul dan nisab kemudian membayar zakatnya sebanyak
1/40 atau 2.5% dan dengan demikian dia bebas dari segala tanggungannya.
Zakat Hutang
Hutang ialah nilai sejumlah wang yang diberi
pinjam kepada orang lain dan ia wajib dikeluarkan zakat jika
kemungkinan besar ia boleh dijelaskan oleh peminjam tersebut. Hutang
yang baru digabungkan dengan baki kekayaan wang tunai yang lain dalam
hitungan nisabnya. Sedangkan hutang yang perlu dibayar kepada orang
lain oleh orang yang ingin mengeluarkan zakat, ia tidak dihitung sebagai
harta yang perlu dikeluarkan zakat sebagaimana berikut:
- Hutang boleh menghalang kewajipan zakat dari
orang yang berhutang sesuai mengikut nilai hutang tersebut apabila
hutang berada di dalam tanggungannya sebelum tiba waktu wajib membayar
zakat dan apabila orang yang ingin mengeluarkan zakat tidak mempunyai
harta lain untuk membayar hutangnya selain dari harta zakat yang
melebihi keperluan asasnya, dia bolehlah menjelaskan hutangnya itu dari
harta zakat tersebut.
- Jika orang yang berhutang yang ingin
mengeluarkan zakat memiliki pelbagai jenis harta yang melebihi dari
harta zakat, dia hendaklah menggunakan salah satu dari jenis harta
tersebut untuk menjelaskan hutangnya kemudian dia mengeluarkan zakat
bagi baki harta zakat yang lain. Keadaan ini adalah lebih berfaedah
bagi golongan yang berhak menerima zakat.
- Hutang-hutang jangka panjang (hutang tunggakan)
yang berkaitan dengan tempat tinggal dan hutang-hutang lain seumpamanya
yang membiayai aset tetap adalah tidak diwajibkan zakat dan ia
biasanya dijelaskan secara beransur-ansur dalam jangka masa yang
panjang. Hutang sebegini hanya boleh mengurangi harta zakat sesuai
mengikut nilai ansuran tahunan yang perlu dijelaskan pada tahun tersebut
sahaja dan orang berkenaan (orang yang berhutang) hanya wajib
mengeluarkan zakat bagi baki harta yang masih berada di tangannya, jika
masih lagi cukup nisab ataupun lebih dari nisab.
- Harta-harta yang wajib dikeluarkan zakat akan
dikurangkan dengan kesemua hutang-hutang yang membiayai urusan-urusan
perniagaan apabila orang yang berhutang tidak mempunyai modal yang
dimiliki (aset tetap) lebih dari keperluan asasinya.
- Harta-harta yang wajib dikeluarkan zakat akan
dikurangkan dengan hutang-hutang pelaburan yang membiayai sesuatu
projek perkilangan (eksploitasi) apabila orang yang berhutang tidak
mempunyai modal yang dimiliki (aset tetap) lebih dari keperluan
asasinya yang boleh digunakan untuk menjelaskan hutang-hutang tersebut.
Jika dia memiliki aset tersebut, maka aset itulah yang perlu digunakan
untuk menjelaskan hutang. Semasa dia menjelaskan hutang dengan
menggunakan aset tersebut, harta-harta yang wajib dikeluarkan zakat
tidak perlu lagi dikurangkan dengan hutang.
Sekiranya aset tersebut tidak mencukupi untuk
menjelaskan hutang, maka harta-harta yang wajib dikeluarkan zakat akan
dikurangkan dengan nilai hutang yang masih berbaki (diambil dari harta
zakat untuk menjelaskan baki hutang tersebut) dan sekiranya hutang
tersebut adalah hutang pelaburan jangka panjang (hutang tunggakan),
maka harta zakat diambil hanya untuk menjelaskan ansuran tahunan yang
perlu dijelaskan pada tahun tersebut sahaja.